Kota Bharu: Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan penyeludup akan beralih ke laluan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan susulan kawalan diperketatkan di sempadan di utara tanah air.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dalam mengekang sebarang penyeludupan.
"Saya tidak menolak kemungkinan penyeludup akan memilih sempadan di Kelantan disebabkan kawalan ketat di utara, namun kita juga menggandakan kawalan keselamatan di sini.
"Jika perlu, saya akan memohon bantuan dari Bukit Aman untuk menambah kekuatan anggota, dalam usaha mengekang kegiatan ini," katanya ketika ketika ditemui selepas Program Derma Darah Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya turut memfokus kepada laluan tikus yang dikenal pasti jadi tumpuan dengan agensi keselamatan terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya.
Kawalan sempadan negara di utara tanah air semakin diperketatkan susulan insiden berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penyeludup yang menyebabkan Sarjan Baharuddin Ramli terkorban, manakala Sarjan Norihan Tari parah.
Insiden itu berlaku pada 3.10 pagi, Selasa lalu dekat pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.
No comments:
Post a Comment