Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Sistem penggiliran PDRM masih tak mencukupi, perlu penyelesaian lain
BANGI – Inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sistem penggiliran pegawai-pegawai kanan yang memegang jawatan penting, masih tidak mencukupi bagi mengelakkan kes rasuah serta salah guna kuasa.
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh, Ustaz Sharipudin Abd Kadir berkata, sistem berkenaan hanya salah satu daripada langkah menangani sahaja, hakikatnya kes rasuah dan penyelewengan terus berlaku.
“Rakyat melihat tangkapan demi tangkapan dilakukan. Ada beberapa kemungkinan yang berlaku.
“Mungkin undang-undang di negara kita tidak menakutkan mereka. Mungkin juga denda yang dikenakan lebih rendah berbanding rasuah yang mereka perolehi walaupun secara haram.
“Mungkin juga berlaku penangkapan tetapi apa kesudahan mereka?,” soalnya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu, pegawai kanan PDRM antara yang diambil tindakan berikutan disyaki ada kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.
Bulan lalu, 34 pegawai kanan polis di seluruh negara dipindahkan disebabkan masalah integriti setelah mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Berikutan itu, PDRM mahu melaksanakan penggiliran terhadap pegawai yang memegang jawatan penting dalam tempoh tiga tahun sekali bagi memastikan tahap integriti yang tinggi dan mengelakkan kes rasuah serta salah guna kuasa.
Mengulas perkara itu, Ustaz Sharipudin berkata, sekadar pertukaran lokasi tempat bertugas tidak dapat dipastikan impak yang berkesan untuk membendung salah laku di mana mana agensi kerajaan.
Justeru, katanya, sudah tiba masanya jabatan kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan ditanam dalam jiwa mereka dengan iman dan takwa.
“Pendidikan agama dan jati diri yang baik merupakan faktor utama boleh menjamin sikap seseorang insan.
“Rasa
tanggungjawab kepada Allah, agama bangsa dan negara merupakan tonggak
penting yang dapat menjamin integriti setiap insan hidup di dunia,”
katanya.
No comments:
Post a Comment