Saturday, August 22, 2020

Kesatuan mahu nisbah 10 pekerja tempatan berbanding seorang pekerja asing

Laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan pengurangan 
pekerjaan dalam semua sektor.

PETALING: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, kerajaan perlu menamatkan pergantungan negara kepada pekerja asing bagi mendorong rakyat tempatan kembali bekerja.

Beliau berkata, ia lebih penting sekarang susulan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan pengurangan pekerjaan dalam semua sektor.

Laporan Produktiviti Pekerja Suku Kedua 2020 menunjukkan jumlah pekerjaan jatuh 2.4% berbanding suku pertama, melibatkan pengurangan 359,000 pekerjaan.

Halim berkata, kerajaan perlu memaksa syarikat yang “lebih mengutamakan keuntungan berbanding negara” supaya mengambil pekerja warga tempatan.

“Pekerja asing biasanya tidak menerima KWSP. Mereka bersedia bekerja untuk gaji lebih kecil. Mereka lebih murah,” katanya, sekali gus menggesa kerajaan supaya mengehadkan bilangan mereka dalam pasaran kerja.

“Kerajaan mesti memastikan wujudnya perlindunag yang mencukupi untuk pekerja tempatan, selain menguatkuasakan nisbah 10 pekerja tempatan bagi 1 pekerja asing.”

Beliau berkata, kerajaan mesti meneliti pekerjaan yang biasanya diisi oleh pekerja asing dan mencari jalan bagi menggalakkan penyertaan tempatan.

“Di Singapura, kita lihat ramai rakyat Malaysia yang melakukan pekerjaan 3D (kotor, bahaya, rumit). Kenapa mereka mahu bekerja di sana, tetapi tidak di sini? Ia disebabkan gaji, jadi kita perlu kaji skim gaji kita kerana kita tidak memberikan gaji yang mencukupi kepada pekerja tempatan.”

Ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin meramalkan sektor pekerjaan akan kembali normal jika sekatan Covid-19 ditarik balik.

No comments: