Tuesday, August 25, 2020

Edar Jalur Gemilang Semasa Kempen Tidak Sepatutnya Dipolitikkan – Zahidi

UMNO ONLINE

TANJUNG MALIM – Sumbangan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan Malaysia kepada orang ramai di sekitar Slim River di sini tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata jabatan itu berperanan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara, lebih-lebih lagi menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Itu adalah tugas kementerian jadi kalau ada apa-apa program Jabatan Penerangan melibatkan bendera dan sebagainya tidak sepatutnya jadi isu politik kerana ini adalah usaha untuk kita menerapkan semangat kemerdekaan dan patriotik.

“Kita meneruskan usaha ini di seluruh negara menerusi program ‘Info On Wheels’ tidak mengira masa, jadi orang yang menjadikannya isu tidak mempunyai semangat patriotik,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri program santai bersama Orang Asal di Kampung Sungai Teras, dekat sini hari ini.

Zahidi mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa Jabatan Penerangan menjadi alat politik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Dalam pada itu, Zahidi berpuas hati dengan liputan media pada PRK DUN Slim yang memasuki hari ke-11 kempen hari ini dengan calon-calon bertanding memperoleh liputan yang cukup adil.

“Liputan pada PRK ini juga terbaik dan harap rakyat dapat membuat keputusan terbaik (semasa mengundi). Kita jangka (BN) boleh menang sebab rakyat sudah tidak percaya kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian dalam perancangan menyediakan infrastruktur dan menambah baik liputan perkhidmatan telekomunikasi daripada 3G kepada 4G di perkampungan Orang Asli di DUN itu.

Terdahulu, Zahidi turut meluangkan masa bersarapan di restoran Pakya Bistro di Slim River dan menghadiri kenduri kampung di Dewan Terbuka Orang Ramai Kampung Kuala Slim bersama calon BN Mohd Zaidi Aziz.

PRK DUN Slim pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan bekas guru, S. Santhara Sekaran. – BERNAMA

No comments: