Sunday, August 30, 2020

Kekuatan iktikad, kesepakatan mampu tundukkan kapitalis

Fazleensafina

 

Kapitalis kemuka pelbagai produk, tapi mesti tunduk kuasa komuniti

KEMPEN membeli barangan dan perkhidmatan muslim sebenarnya memerlukan kekuatan iktikad dan kesepakatan, dua jenis kekuatan yang mampu diperoleh oleh mana-mana pihak, jika mahu.

Kekuatan iktikad dan kesepakatan ini mampu menundukkan kekuatan kapitalis.

Kekuatan iktikad adalah sumber segala kekuatan. Dalam konteks ini, kepimpinan dunia mesti berada di tangan muslim, barulah aman hidup manusia.

Kepimpinan mesti dominan. Orang lain mengikut kita, bukan kita yang mengikut orang.

Itu iktikad kita sebagai muslim.

Iktikad sebegini melahirkan sikap tidak mahu mengalah dan tidak mudah disogok keselesaan.
Tiada sesiapa yang mampu berada di posisi diikuti orang kecuali dia mesti mendahului. Ketinggalan tidak bermakna mengalah.

Kesepakatan yang tulen adalah dijana daripada iktikad bahawa muslimin itu bersaudara, mesti bertindak sebagai satu jasad.

Kita komunitarianistik, bukan individualistik.

Kapitalis boleh kemukakan apa saja produk dan servis, tetapi mesti tunduk pada kehendak dan kuasa komuniti.

Ketundukan ini omong kosong jika individualistik berleluasa.

Jika kita kuat melaungkan kempen beli produk dan servis muslim, tetapi individualistik kita tinggi, kita boleh menang sorak sahajalah.

Kesepakatan untuk menundukkan kapitalis juga memerlukan pengorbanan dan semangat juang yang tinggi. Sanggup menempuh waktu sukar. Ibarat kita gigit jari kapitalis, kapitalis gigit jari kita juga.

Orang yang menang ialah yang mampu bertahan sesaat lebih lama daripada lawannya.

Bersediakah kita untuk mendominasi negara dan tanah air kita semula?

Hidup ini hanya sekali. Habiskan usia untuk menebus kedaulatan yang diinjak-injak sekarang.

Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

No comments: