KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020 akan dilaksanakan berdasarkan konsep hibrid selama 4 hari bermula 26 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berkata, konsep hibrid yang diketengahkan adalah disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.
“Berdasarkan kepada penganjuran sebelum ini, MAHA boleh menarik lebih 3 juta pengunjung. Walau bagaimanapun mengambil kira situasi pandemik Covid-19, penganjuran tahun ini perlu disesuaikan dan buat julung kalinya dibuat secara hibrid, iaitu kombinasi fizikal dan maya.
“Sebelum ini MAHA berlangsung selama 11 hari, dan tiada had dari segi pengunjung. Namun bagi MAHA 2020, penyertaan adalah dari segi jemputan dan fokus diberikan untuk acara ‘trade and business’.
“Oleh itu MAHA 2020 disasarkan akan menarik 10,000 pengunjung sehari secara fizikal dan lebih 100,000 secara maya,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta menteri menyatakan sejauh manakah penganjuran MAHA 2020 akan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM memandangkan negara masih berhadapan dengan penularan Covid-19 serta apakah hasil pulangan ekonomi yang dapat dijana melalui penganjuran tahun ini.
Ronald berkata, pelbagai aktiviti dalam talian akan diadakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video serta promosi produk pameran yang boleh dipaparkan secara langsung.
Berikutan wabak Covid-19 dan setiap aktiviti terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara Kiandee berkata, bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.
Dengan tema “Pertanian Penjana Ekonomi Negara”, ia menggabungkan pameran secara fizikal yang melibatkan lebih 700 gerai serta pameran maya secara dalam talian.
MAHA 2020 menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta, badan korporat tempatan, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dan tempatan serta institusi kewangan.
No comments:
Post a Comment