KUALA LUMPUR: Kumpulan politik berpangkalan di Sabah, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia @G57 membuat beberapa laporan polis ke atas Ketua Menteri, Shafie Apdal dan 2 ahli Warisan.
Pengerusinya, Zulkarnain Mahdar berkata laporan itu dibuat terhadap Shafie atas kenyataannya yang mendakwa bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman memberikan hampir sejuta ekar tanah kepada individu tertentu, termasuk ahli keluarga sendiri.
“Fitnah ini dibuat tanpa ada bukti kukuh dan apa yang menghairankan adalah sepanjang Shafie mengetuai Sabah selama 26 bulan, isu pemberian tanah langsung tidak pernah ditimbulkan, malah laporan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak dibuat.
“Malangnya, selepas pengumuman DUN Sabah dibubarkan, Shafie telah keluar kenyataan fitnah untuk menjejaskan imej dan kredibiliti Musa bagi mengalihkan isu kegagalan Shafie mengurus tadbir Sabah dengan baik” katanya di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Beliau meminta tindakan undang-undang diambil ke atas 2 ahli Warisan, iaitu Nordin Ening dan Ismaily Bungsu yang menuduh Musa sebagai perompak serta pencuri tanpa sebarang bukti.
Zulkarnain berkata, laporan polis itu juga dibuat terhadap Shafie susulan beberapa video oleh Jufazli Shi Ahmad yang menyifatkan pemimpin itu sebagai ejen Filipina yang menuntut Sabah.
“Apa yang peliknya, Shafie tidak mengambil tindakan saman fitnah ke atas Jufazli ini, dan jika ia fitnah, sepatutnya beliau berani tampil ke depan saman, tetapi sampai sekarang dia tidak mengambil apa-apa tindakan.”
Beliau berkata, polis harus menyiasat sama ada dakwaan itu benar atau tidak kerana yakin Jufazli tidak akan berani mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa bukti kukuh.
No comments:
Post a Comment