MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berharap lebih ramai penghantar makanan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata, ini kerana sehingga kini pihaknya hanya menerima 62 pencarum berdaftar di bawah SKSPS, sedangkan difahamkan terdapat hampir 600 penghantar makanan di seluruh Melaka.
“SKSPS memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja termasuk tanggungan mereka jika berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan.
“Justeru, kita menyeru semua individu yang bekerja sendiri terutama penghantar makanan dan masih belum berdaftar di bawah SKSPS untuk hadir ke mana-mana pejabat Perkeso,” katanya hari ini.
Beliau berkata, antara faedah yang disediakan melalui skim itu adalah faedah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan pinjaman pendidikan.
No comments:
Post a Comment