Rabu, 8 April 2020

Tiada majlis berbuka puasa dan solat terawih Sultan Selangor bersama rakyat tahun ini

Bernama
Tiada majlis berbuka puasa dan solat terawih Sultan Selangor bersama rakyat tahun ini
Sultan Sharafuddin turut menasihatkan umat Islam supaya menyambut bulan Ramadan tahun ini dengan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadah. Gambar fail/ Bernama.
 
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan majlis berbuka puasa dan solat terawih bersama rakyat yang menjadi tradisi baginda di masjid seluruh negeri pada Ramadan tidak dianjurkan tahun ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam kenyataan pada Rabu, berkata baginda dengan berat hati memutuskan sedemikian setelah mengambil kira faktor keselamatan rakyat susulan penularan wabak COVID-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya.

"Telah menjadi tradisi Sultan Selangor pada setiap bulan Ramadan baginda akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat di semua daerah di negeri dan menyampaikan sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada asnaf dan fakir miskin.

"Namun pada bulan Ramadan tahun ini, Sultan Selangor dengan berat hati telah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat terwaih bersama rakyat di masjid di seluruh negeri ini," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan memerlukan seperti yang disampaikan pada majlis berbuka puasa sebelum ini tetap akan disalurkan.

LZS akan mengagihkan zakat dan bantuan hari raya berjumlah RM500 kepada setiap golongan berkenaan menerusi kaedah yang lebih selamat dan efisen iaitu secara pengkreditan terus ke akaun bank penerima.

"Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, LZS akan memberikan baucer tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam," katanya.

Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut menasihatkan umat Islam supaya menyambut bulan Ramadan tahun ini dengan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadah selain sentiasa berwaspada serta mematuhi panduan dan arahan terkini dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Baginda juga mendoakan seluruh rakyat dijauhi daripada bencana serta dilindungi Allah S.W.T dan berharap semoga wabak COVID-19 dapat segera berakhir supaya masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam keadaan sihat serta aman dan sentosa," katanya. - BERNAMA 

Tiada ulasan: