Rabu, 8 April 2020

Harapan rakyat pada 10 April 2020

MGF05042020_PKPD-PLAZA-CITY-ONE_16
Petugas KKM membuat saringan pemeriksaan ke atas penduduk pada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza City One, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KERAJAAN dijangka mengumumkan keputusan sama ada meneruskan atau tidak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 April 2020.

Ianya bakal diputuskan berdasarkan cadangan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira situasi semasa penularan wabak Covid-19 ini selepas pelaksanaan dua fasa PKP dan juga bakal mengambilkira kemungkinan yang akan berlaku pada pertengahan bulan April ini.

Kita sedia maklum berdasarkan beberapa kajian dan ramalan, kes jangkitan wabak ini dijangka akan meningkat dengan lebih drastik di negara kita pada pertengahan April. Jadi apa harapan rakyat kepada kerajaan pada 10 April 2020?

Sudah tentu rata-rata majoriti anggota masyarakat mahukan tempoh pelaksanaan PKP ini dilanjutkan lagi walaupun terkurung di rumah serta tidak dapat keluar untuk menjalankan aktiviti rutin kehidupan seperti biasa termasuk bekerja, berniaga dan bersosial.

Hal ini demikian kerana anggota masyarakat mula meletakkan keutamaan kepada nyawa dan kesihatan bukan saja diri sendiri tetapi seisi keluarga. Masyarakat gusar, resah dan bimbang, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan berada dalam ketakutan angkara ancaman virus yang berbahaya ini.

Ketiadaan ubat dan vaksin untuk mengubatinya mengeruhkan lagi keadaan. Justeru seboleh-bolehnya rakyat mahu duduk di rumah dan menjaga serta melindungi kesihatan diri dan keluarga.

Maka harapan utama rakyat kepada kerajaan pada ketika ini ialah melanjutkan tempoh PKP ke fasa ketiga.

Harus diingat antara kerisauan utama ibu bapa ialah keadaan kesihatan anak-anak yang terpaksa ke sekolah semula pada 15 April 2020 jika PKP tidak dilanjutkan.

Kita sedia maklum sekolah adalah tempat perhimpunan yang cukup besar dan padat.

Baik di dalam kelas, luar kelas mahupun ketika di kantin, aktiviti dan pergaulan anak-anak sukar dikawal sepenuhnya.

Maka ini boleh mengundang musibah dan risiko yang cukup besar, malah boleh mencetuskan satu kluster jangkitan dan penularan yang baru yang jauh lebih besar di seluruh negara.

Percayalah, jika itu berlaku tidak mungkin kita dapat mengawal situasi parah ini kerana akan melibatkan bilangan murid yang terlalu ramai.

Satu lagi senario yang membimbangkan ialah kita berada di ambang bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 24 April 2020. Seperti yang sedia maklum antara dua perhimpunan besar yang biasa berlaku pada setiap Ramadan ialah, perniagaan bazar Ramadan serta solat tarawih berjemaah di masjid dan surau. Inilah adalah aktiviti lumrah dan rutin seluruh umat Islam.

Maka apa jaminan dalam tempoh antara 15 April hingga 24 April kita dapat mengekang dan mengawal sepenuhnya penularan wabak ini bagi membolehkan bazar Ramadan dan solat tarawih di masjid dan surau dapat diteruskan seperti biasa?

Walaupun beberapa buah negeri sudah membatalkan bazar Ramadan namun jika PKP tidak dilanjutkan keputusan ini boleh berubah dan kembali diadakan seperti biasa. Secara logiknya kita tidak mungkin dapat mengawal penularan wabak ini secepat itu, malah pihak KKM sendiri telah memberi nasihat agar semua perhimpunan besar-besaran dihentikan dalam tempoh enam bulan hingga setahun yang akan datang.

Jadi jika PKP tidak dilanjutkan maka kita bakal melihat cetusan dua lagi kluster jangkitan yang besar di seluruh negara iaitu di bazar Ramadan dan solat tarawih.

Sebagai umat Islam, penulis sendiri sedih dan cukup berat untuk menerima hakikat kemungkinan besar terpaksa elak untuk solat tarawih di masjid atau surau pada tahun ini namun kita terpaksa membuat pilihan yang betul dan rasional terutamanya setelah mengambil kira aspek keselamatan nyawa semua pihak.

Jadi secara prinsipnya jika kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan PKP pada 10 April 2020, maka mulai 15 April aktiviti rakyat akan kembali seperti biasa dan sejauh mana pada 15 April kita sudah berjaya mengekang penularan wabak ini?

Maka besarlah harapan kita agar pihak kerajaan akan mengambil kira segala kemungkinan yang bakal berlaku pada pertengahan April seterusnya membuat satu keputusan yang bijak dan rasional pada 10 April ini.

Apapun keputusannya biarlah ianya berpaksikan keutamaan kepada aspek kesihatan dan keselamatan nyawa seluruh rakyat Malaysia.

* Penulis ialah Noor Mohamad Shakil Hameed, timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM.


Tiada ulasan: