Jumaat, 3 April 2020

Pelantikan Hadi tepat, pengalaman peringkat antarabangsa

Manzaidi Mohd Amin
MGF01032019_HIMPUNAN-AMAN-ANCAMAN-ISLAM_21
Kamaruzaman Mohamad 
 

KUALA LUMPUR – Pas mengucapkan tahniah atas pelantikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas mewakili Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Umum mengetahui Abdul Hadi mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa terutama dalam kalangan dunia Islam di Eropah dan Timur Tengah.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, Ahli Parlimen Marang itu juga pernah menjawat jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada 2014 dan Ahli Penyelaras Sekretariat Parti Islam Sedunia di Turki.

“Beliau pernah terlibat secara langsung dalam rundingan konflik umat Islam di seluruh dunia termasuk di Afghanistan, Bosnia, Yaman, Selatan Thailand, Aceh dan sebagainya.

“Kita percaya pelantikan ini satu pengiktirafan terhadap pengalaman beliau dalam keadaan dunia memerlukan tokoh yang boleh membina hubungan mantap antara Malaysia dan negara di Timur Tengah serta negara Islam yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamaruzaman, seluruh ahli Pas mendoakan ABDUL Hadi terus dikurniakan kesihatan oleh Allah agar dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh bijaksana bagi menaikkan imej Malaysia untuk terus berperanan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: