Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan menyeluruh di seluruh negara.
“Kita dimaklumkan terdapat rungutan, ada kenaikan harga barang yang mendadak oleh peniaga sesuka hati.
“Jika didapati ada pihak menaikkan harga barang keperluan, sila lapor kepada pihak KPDNHEP supaya tindakan tegas dikenakan.
“Peniaga tidak boleh mengambil kesempatan ketika rakyat sedang susah ketika ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas harian menteri-menteri bersama pihak berkuasa dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra di sini, hari ini.
Semua aktiviti pertanian dibenarkan
Dalam perkembangan sama, Ismail turut memaklumkan terdapat kekeliruan berhubung operasi dan aktiviti pertanian sepanjang PKP.
“Semua aktiviti dan operasi berkaitan sektor pertanian adalah dibenarkan. Ini termasuk penanaman padi, penangkapan ikan dan rantaian nilai berkaitan pertanian.
“Sebagai contoh kedai baja juka dibenarkan beroperasi. Begitu juga kenderaan yang mengangkut barang-barang pertanian.
“Industri yang berkaitan makanan dan ubat-ubatan seperti kilang kotak dan beg plastik juga dibenar beroperasi seperti biasa.
“Bagaimanapun kilang-kilang ini perlu meminta kebenaran dahulu dan polis tidak akan menghalang operasi mereka,” katanya.
Polis, tentera kawal pasar Selayang
Dalam perkembangan saman, Ismail memaklumkan kerajaan memutuskan untuk menempatkan anggota polis dan tentera untuk mengawal dan menguatkuasakan perintah jarak sosial di pasar borong dan pasar basah Selayang.
Katanya, walaupun semalam amaran telah dikeluarkan, tetapi pengunjung masih tidak mematuhi langkah penjarakkan sosial itu.
“Masih lagi bersesak-sesak, tak ikut, tak patuh SOP tentang penjarakan fizikal 1 meter dan sebagainya.
“Keputusan mesyuarat kita akan tempatkan polis dan tentera untuk pastikan kepatuhan di pasar borong dan pasar basah Selayang,” katanya.
Tiga pihak cari penyelesaian kesesakan penjara
Mengulas laporan bahawa berlakunya kesesakan di penjara susulan PKP Ismail berkata, perkara itu dalam perbincangan pihak Jabatan Penjara, polis dan Pejabat Peguam Negara.
“Kerajaan juga sedang memantau dan mengambil maklum keadaan di penjara di seluruh Malaysia.
Jabatan Penjara akan berbincang dengan polis dan Pejabat Peguam Negara bagi memperincikan keadaan itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan