Isnin, 6 April 2020

Lapor KPDNHEP jika harga barang melampau

Nurul Hidayah Bahaudin
 
MOHAMAD Sani Mohammad Nor (kiri) bersama anggota penguatkuasa memeriksa bekalan keperluan asas di kilang beras dan pemborong gula di Balakong susulan PKP lanjutan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim
 

SEBANYAK 1,000 premis diperiksa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh Kajang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh 18 Mac lalu sehingga semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Daerah Kajang Mohammad Sani Mohammad Nor berkata, tiada sebarang notis dikeluarkan pihaknya terhadap peniaga mahupun pemborong sepanjang tempoh itu.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 60 aduan diterima daripada orang awam berkaitan kenaikan harga bekalan makanan dan keperluan asas di kebanyakan premis membabitkan kedai runcit di daerah ini dalam tempoh sama.

“Berdasarkan aduan diterima, kami melakukan pemeriksaan dan mendapati harga barangan di kedai runcit berkenaan masih terkawal,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan pemeriksaan di tiga premis membabitkan kilang beras, pusat pengedaran kedai serbaneka dan pasar raya di Balakong, hari ini.

Mohammad Sani berkata, berdasarkan pemeriksaan dilakukan mendapati bekalan makanan dan keperluan asas di tiga premis berkenaan mencukupi untuk kegunaan pengguna.

“Bagi kilang beras itu, wakil pengurusan memaklumkan bekalan mereka mencukupi bagi tempoh tiga bulan, manakala pusat pengedaran kedai serbaneka dan pasar raya berkenaan pula mencukupi untuk kegunaan pengguna ketika ini.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di kebanyakan premis di daerah ini mendapati bekalan makanan dan keperluan asas terutama beras, tepung dan gula adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu cemas dan melakukan pembelian panik sepanjang tempoh PKP memandangkan bekalan sedia ada mencukupi.

"Jika ada mana-mana peniaga mahupun pemborong yang mengambil kesempatan dengan menyorok atau menjual barangan keperluan asas serta makanan dengan harga melampau akan dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti premis menjual barangan keperluan asas dan makanan dengan harga tinggi di daerah ini diminta menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Kajang di talian 03-87331070 yang beroperasi jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sepanjang tempoh PKP," katanya.

Tiada ulasan: