Ahad, 5 April 2020

Krisis Ekonomi Terburuk Akibat COVID-19: Bersediakah Kita?

UMNO ONLINE




ALOR SETAR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Suraya Yaakob berkata, hakikat bahawa penularan wabak COVID-19 memberikan impak negatif dan menjejaskan ekonomi dunia merupakan satu fakta yang tidak dapat disangkal.

Jelas beliau, agensi-agensi dan majoriti pakar ekonomi dunia mentafsirkan krisis ekonomi dunia kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah dunia moden.

Tidak terkecuali, Malaysia juga amat terkesan dengan krisis ekonomi akibat COVID-19.

“Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menjelaskan kedudukan ekonomi negara yang diunjurkan dari -2.0% hingga 0.5%, manakala unjuran KDNK pula serendah -3.5% hingga 2.7%.

Unjuran yang bermula dari titik negatif dan dibawah 3%… belum pernah berlaku lagi situasi ekonomi seburuk ini di era Malaysia moden.

“Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kita semua telah mengalami impak buruk wabak COVID-19 ini. Sudahlah dalam tempoh dua tahun ini puluhan ribu yang hilang pekerjaan, COVID-19 kini menekan hidup kita, tidak mengira siapa. Dari pekerja bawahan hinggalah taikun perniagaan yang rugi jutaan ringgit,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Suraya, ekonomi negara ‘koyak’ maka ekonomi rakyat sudah tentu ‘rabak’. Apatah lagi selepas GST yang menjadi antara sumber terbesar negara telah dimansuhkan Kerajaan terdahulu,

Kerajaan kini tiada pilihan lain selain bergantung kepada sumber minyak (Petronas), rizab negara dan sumber-sumber kecil lain.

“Untuk mengurangkan impak ekonomi negara dari terjejas teruk, Kerajaan terpaksa memerah minda dan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi yang bernilai RM250 bilion. Terima kasih Kerajaan atas keputusan dasar awal yang bijak ini.

“Pun begitu, vaksin penawar COVID-19 masih gagal ditemui. Hampir minggu hidup di bawah PKP, ratusan kes baharu COVID-19 dilaporkan saban hari di seluruh negara. Ada yang mendengar kata namun ada yang degil, enggan patuh pada arahan PKP. Pihak berkuasa bersabung nyawa menjalankan tugas mengawal pergerakan awam tapi diherdik dan dihina ‘stupid idiot’. Segelintir golongan inilah yang bakal menyebabkan Malaysia terus berisiko dengan ancaman COVID-19.

“Jika berterusan begini, bilakah agaknya Malaysia kes baharu COVID-19 akan reda? Bilakah pula PKP akan ditamatkan? Jika Covid-19 masih menular, PKP pula terpaksa diteruskan kepada tempoh yang lebih lama, bilakah pula ekonomi negara akan kembali pulih, mengukuh dan pertumbuhan ekonomi akan berlaku? Bagaimana pula dengan ekonomi kita rakyat? Kerana segelintir golongan ini, poket kita akan terus koyak rabak dan terpaksa kikis duit tabung anak?,” luah beliau.

Kata Suraya lagi, sesungguhnya inilah cabaran terbesar bagi rakyat Malaysia.

“Kita terkesan dan terjejas teruk. Buat masa ini, masih ada lagi ramai pihak seperti agensi kerajaan, NGO-NGO, parti-parti politik, jutawan dan individu yang sudi tampil menghulurkan bantuan. Insha Allah, kita masih belum ke tahap ‘kebuluran’ dan masih ramai yang prihatin dengan kesusahan kita.
Kita masih mampu bertahan walau dalam serba kekurangan.

“Jadi, kita biarlah Kerajaan melaksanakan tugas mereka menangani maslahat ekonomi negara.
Usahlah diganggu dengan ‘politik murahan’ dan berilah sokongan padu kepada pihak Kerajaan.

“Bermula cantik dengan Pakej Rangsangan Ekonomi baru-baru ini, Kak Su yakin pihak Kerajaan mampu memberikan yang terbaik dan menambahbaik mengikut keperluan semasa, khususnya kepentingan kebajikan rakyat,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: