Ahad, 12 April 2020

KPT tawar geran penyelidikan khas pasca Covid-19

KPT menyediakan geran khas penyelidikan meliputi 20 bidang 
utama, termasuk ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, 
pelancongan, pendidikan dan keselamatan makanan.
 
PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida dan terbuka kepada semua pensyarah universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi menjalankan penyelidikan dalam bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat pasca Covid-19.

Dalam satu kenyataan, KPT berkata tawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek itu adalah usaha menyediakan sumber rujukan kepada kerajaan, terutama kepada kementerian berkaitan sebagai persediaan bagi merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak Covid-19.

“KPT yang mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf profesor madya.

“Secara jelas ia dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi, selain menghadapi kehidupan baru bagi mengelak wabak Covid-19 menular semula,” katanya.
Dalam pada itu, KPT akan memberikan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap penyelidikan yang dijalankan yang meliputi 20 bidang utama.

Katanya, bidang penyelidikan yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat dalam menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan.

“Setiap kertas cadangan penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 3 orang,” katanya.

KPT berkata permohonan geran penyelidikan khas itu dibuka mulai 15 April sehingga 30 April ini dengan tempoh masa kajian selama 6 bulan.

Katanya, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan tersebut dalam menentukan kesesuaian penyelidikan.

“Setiap hasil penyelidikan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ia sesuai untuk dilaksanakan di kementerian berkaitan.

“Makluman rasmi pembukaan geran tersebut boleh diakses melalui Malaysia Greater Research Network System (MyGRANTS),” katanya.

Tiada ulasan: