Ahad, 12 April 2020

Ambil peluang tarik syarikat Jepun keluar dari China, kata pakar

Jepun mengarahkan syarikatnya yang berpangkalan di China 
supaya memulakan semula perniagaan mereka ke negara lain
 susulan pandemik Covid-19. (Gambar AFP)
 
PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa Putrajaya mengambil peluang menarik pelaburan langsung pertengahan dan tinggi daripada syarikat Jepun yang diarah keluar dari China berikutan pandemic Covid-19.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, syarikat ini akan mencari pangkalan baru untuk memulakan semula perniagaan mereka selepas krisis tersebut berakhir.

“Ia patut dilihat sebagai peluang baik untuk menarik syarikat ini ke negara kita.

“Persaingannya tentu sengit, justeru kita perlu bertindak cepat dan mula berbincang dengan mereka,” kata bekas ketua ekonomi RAM Holdings itu kepada FMT.


Yeah merujuk satu laporan yang menyebut bahawa Jepun memperuntukkan sebanyak AS$2.2 bilion daripada pakej ekonomi negara itu bagi membantu pengilangnya memindahkan pengeluaran mereka dari China, setelah pandemic Covid-19 menggugat rantaian bekalan 2 rakan kongsi perdagangan itu.

Peruntukan itu termasuk AS$2 bilion untuk syarikat berpindah balik ke Jepun dan AS$2.17 bilion untuk syarikat yang mahu berpindah ke negara lain, berdasarkan perincian rancangan itu yang disiarkan secara atas talian, lapor South China Morning Post.

Yeah berkata, syarikat Jepun yang kaya dijangka memindahkan operasi berhampiran dengan pasaran penggunaan mereka.

“Sesetengahnya tidak mahu balik ke Jepun kerana penduduknya yang semakin tua dan kos pengeluaran yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya harus berhati-hati dengan pesaing seperti Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura, dengan menambah bahawa kerajaan harus proaktif dalam memenuhi keperluan syarikat Jepun.

Yeah berkata, langkah utamanya ialah meningkatkan promosi, sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang ideal.

“Ini mesti diikuti dengan pelaksanaan segera langkah bagi mempermudahkan urusan perniagaan, selain memberi bantuan penuh bagi memastikan mereka boleh memulakan operasi dengan cepat,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan mendapatkan sokongan daripada syarikat multinasional Jepun yang sedia beroperasi di negara ini bagi menarik syarikat tersebut supaya memulakan semula perniagaan mereka di sini.

“Kita perlu memanfaatkan hubungan kita dengan MNC ini,” katanya.

Yeah berkata, Malaysia boleh menawarkan insentif seperti pengecualian cukai yang juga ditawarkan oleh negara lain.

Katanya, syarikat asing mementingkan kestabilan politik, kesambungan baik dan tanah, yang boleh ditawarkan oleh Malaysia.

Bagaimanapun katanya, halangan yang wujud ialah kekurangan tenaga pekerja. Oleh sebab itu katanya, Putrajaya harus menyasarkan pelabur pertengahan dan tinggi seperti elektri, elektronik dan peralatan perubatan.

“Kita boleh sediakan kemahiran, tetapi untuk tujuan itu, kita perlu melatih dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan pekerja kita,” katanya.

Pakar ekonomi Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, Malaysia harus sedar bahawa terdapat lokasi lain yang lebih menarik dari segi kos iaitu Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Thailand.

“Malah banyak kilang telah berpindah dari Malaysia ke negara tersebut kerana pertimbangan kos,” katanya.

Sebilangan ahli ekonomi meramalkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini kerana
hampir semua sektor utama ekonomi negara merosot akibat wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pada 3 April Bank Negara menyebut dalam Kajian Ekonomi Kewangan 2019 bahawa ekonomi Malaysia akan mengecut sehingga 2% tahun ini.

Tiada ulasan: