Tatkala negara-negara maju sedang bergelut dengan virus maut itu, situasi di Malaysia lebih stabil.
Kadar jangkitan kes di Malaysia adalah 7% berbanding 10% oleh WHO dan kadar kematian akibat wabak ini adalah 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian di peringkat dunia.
Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail melahirkan rasa bangga dengan tindakan-tindakan proaktif KKM dan barisan-barisan hadapannya yang begitu komited dalam memastikan rantaian wabak ini dapat dibendung secepat mungkin.
Dr. Ahmad Shukri Ismail
”Kalau kita bandingkan kecekapan Malaysia dalam menangani wabak ini memang luar biasa, cukup proaktif sehingga mendapat pengiktirafan WHO.
”Malaysia mungkin jauh lebih baik jika kerajaan sebelum ini bertindak menutup pintu masuk Malaysia lebih awal memandangkan kes tercetus daripada 3 pelancong dari China.
”Tetapi secara keseluruhannya ini, standard sistem penjagaan kesihatan di Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara maju, termasuklah Amerika Syarikat, London, Itali dan sebagainya.
“Tiada perkataan yang mampu diungkapkan kecuali rasa bangga. Sangat, sangat bangga dengan KKM, juga seluruh kakitangannya,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Meskipun sukar dan getir untuk bertarung dengan wabak ini, beliau percaya dan yakin Allah mempermudahkan usaha-usaha KKM.
Ini kerana, berdasarkan perkembangan sejak awal penularan virus ini, KKM sudah cukup bersiap-sedia.
”Kita masih dalam gelombang kedua tetapi KKM sudah siap-siaga dengan kemudahan tambahan hospital. Ini menunjukkan Malaysia dalam keadaan bersedia untuk menghadapi gelombang ketiga,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Shukri berkata, kesungguhan dan keikhlasan KKM dan barisan hadapannya dalam memastikan keselamatan rakyat cukup dirasai sehingga membuat seluruh masyarakat terkesan dengan pengorbanan besar mereka.
“Walaupun kita akui barisan hadapan ini keletihan, penat menghadapi krisis ini secara berlarutan tetapi kita tahu semangat mereka kuat. Semangat mereka inilah telah menjadikan sebahagian besar rakyat mula akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Menilai kesukaran mereka, jerih, perih mereka menjadikan rakyat bagaikan satu pasukan bekerjasama, menyumbang tenaga, kewangan untuk menyediakan keperluan bagi memastikan barisan hadapan ini dapat bekerja dengan selesa dan selamat.
”Keadaan ini cukup mahal harganya kerana ia tidak berlaku di mana-mana kecuali di Malaysia,” tambahnya.
Tambah beliau, apabila krisis ini berlaku, beliau akui, sistem kesihatan Malaysia mungkin tidak mampu berada pada tahap ini tanpa komitmen besar oleh Kerajaan Barisan Nasional yang telah memperuntukkan belanjawan tinggi untuk kesihatan selama 60 tahun.
Dulu, katanya, ramai tertanya-tanya mengapa sektor kesihatan selalu mendapat bajet besar tetapi sekarang semuanya terjawab.
Jelas beliau, berbanding negara-negara maju, Malaysia mengamalkan sistem kesihatan dua peringkat iaitu hospital kerajaan dan klinik kerajaan serta hospital swasta dan klinik swasta.
”Dengan sistem dua peringkat ini, ia lebih mudah apabila berlaku sesuatu krisis kesihatan seperti hari ini,” jelasnya.
Tidak cukup dengan itu, dengan nilai RM1, rakyat Malaysia boleh mendapatkan rawatan doktor dan RM5 untuk rawatan pakar.
”Inilah uniknya sistem kesihatan Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan