Khamis, 9 April 2020

Haji: Belum ada keputusan rasmi Arab Saudi

HARAKAHDAILY



KUALA LUMPUR: Belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataannya hari ini.




Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan perjumpaan beliau bersama Duta Besar Arab Saudi, TYT Mahmoud Hussien Saeed Qattan bersama delegasi dari negara Timur Tengah itu pada 7 April lalu.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al-Rubai’an, Pengurus Besar Kanan Haji dan Tabung Haji serta Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Ruslan Said.

Tujuan pertemuan tersebut katanya berikutan kebimbangan beliau berhubung pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini yang mana menurut beliau turut memberi kesan kepada Arab Saudi.

Arab Saudi dalam menghadapi wabak jangkitan itu telah menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat Pergerakan masuk dan keluar kepada beberapa bandaraya termasuk Makkah dan Madinah.

Malah, bulan lalu Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan wabak itu.

Kata beliau, ini bagi mendapatkan penjelasan yang tuntas berkenaan isu pelaksanaan ibadah haji bagi tahun ini.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam untuk tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan perkara ini dan mengajak agar rakyat Malaysia sama-sama berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini serta memelihara dua Kota Suci umat Islam dari sebarang perkara yang tidak diingini.

“Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya,” doanya di akhir kenyataan berhubung isu tersebut – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: