Punyai kelebihan kerana lokasi tidak jauh dari kediaman
KUALA LUMPUR
– Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan
rantaian penularan jangkitan COVID-19 kira-kira sebulan lepas, orang
ramai kini nampaknya sudah membiasakan diri untuk kembali ‘mengenali’
kedai runcit.
Walaupun berhadapan dengan saingan sengit
dari pasar raya besar selaras dengan arus peredaran zaman; dalam
persekitaran PKP ketika ini kelebihan dilihat lebih berpihak kepada
kedai runcit; yang lokasinya tidak jauh pun dari kediaman ramai, namun
kepentingannya sering dipandang enteng.
Dari satu sudut, PKP ini dilihat sebagai
satu rahmat yang terselindung bagi pengusaha kedai runcit, dan juga buat
para pelanggannya, mungkin satu kebiasaan baharu sedang muncul.
Asmah Harun, 58, yang mengendalikan kedai
uncit di Kampung Beladau Selat, Kuala Terengganu, adalah antara yang
merasa gembira melihat ramai pelanggan yang berkunjung ke kedainya sejak
kebelakangan ini, berbanding sebelum PKP dilaksanakan.
“Walaupun saya tidak buka kedai sehingga
lewat malam, hasil jualan nampak tetap lebih baik, kerana jumlah
pelanggan meningkat. Sebelum ini hanya beberapa penduduk kampung sini
sahaja yang datang ke kedai saya, tapi sekarang penduduk kampung
berhampiran pun datang beli barang di sini.
Terlalu ramai (pelanggan)
sehingga polis terpaksa datang untuk kawal keadaan, dan memastikan
jarakan sosial dipatuhi,” katanya kepada Bernama.
Asmah berkata beliau terpaksa mengambil
stok barang yang lebih banyak daripada pembekal berbanding sebelum ini,
bagi memenuhi permintaan yang melonjak, boleh dikatakan secara
tiba-tiba.
Selain itu, beliau turut membenarkan
beberapa penduduk kampung meletakkan makanan yang dibungkus dikedainya,
untuk dijual kepada pelanggan.
Asmah berkata kebanyakan lelaki memilih
untuk berbelanja di kedainya, kerana ia lebih mudah – hanya serahkan
sahaja satu senarai barang-barang yang hendak dibeli kepada pembantu
kedai, dan semuanya akan diuruskan, tanpa perlu mereka ke sana sini
mencari barangnya.
Mohd Fazil Ibrahim, 45, seorang pelanggan
kedai runcit di Penaga, Kepala Batas, Penang, berkata kedai runcit yang
terletak hampir dengan rumahnya sangat banyak membantu semasa tempoh
PKP, tambahan pula dia tidak perlu berbaris panjang untuk membuat
pembayaran, sebagaimana kebiasaan bagi pasar raya besar.
Kedai runcit itu turut menjual segala
jenis barang keperluan termasuk sayur-sayuran segar, ikan, udang,
daging, dan bermacam lagi.
“Saya juga boleh berhutang, memang saya ada berhutang di kedai sini,” katanya.
Kedai runcit di selatan negara, di Johor Bahru, juga ketika ini dilihat menjadi pilihan ramai.
Nur Faezah Mohd Khalid, 30, berkata
beliau sering mengunjungi kedai runcit yang terletak hanya kira-kira 800
meter dari rumahnya di Larkin sejak PKP dikuatkuasakan.
Sebelum ini tempat yang sering menjadi pilihannya adalah pasar raya, pasar basah, pasar tani dan juga pasar malam.
“Ia bukan sahaja soal menjimatkan masa,
tapi juga soal keselamatan. Saya lebih risaukan keselamatan anak-anak
kecil, perlu elak daripada membawa mereka berbelanja di tempat-tempat
kunjungan ramai,” katanya kepada Bernama, sebagai merujuk kepada
kembimbang
an wabak COVID-19.
Pandangan beliau turut dipersetujui oleh seorang suri rumah Ainy Md Yunos, 68, dari Kota Bharu, Kelantan.
Pembantu jurutera Radio Televisyen
Malaysia Salizah Duasa, 32, yang tinggal di Negeri Sembilan pula
berkata, beliau tidak risau untuk berbelanja di kedai runcit di Seremban
2 kerana pengusaha kedai itu memastikan jarakan sosial dipatuhi, di
samping menyediakan pensanitasi tangan.
“Untuk pergi ke pasar raya besar, perlu
melalui sekatan jalan raya, manakala untuk beli secara dalam talian
pula, ia mengambil masa sebelum barang itu sampai. Lebih mudah
berbelanja di kedai runcit sahaja. Lagi pun tidak ada banyak bezanya
dari segi harga,” katanya.
Tinjauan di Ipoh, Perak, mendapati kedai
runcit, atau sering dirujuk sebagai Kedai Acheh, juga amat popular di
kalangan orang ramai sejak kebelakangan ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan