Rabu, 8 April 2020

Belum ada kenyataan rasmi dari Arab Saudi berkenaan haji

ADMIN ISMAWEB

 

Kerajaan telah bertemu duta besar negara itu untuk dapat penjelasan

KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung penangguhan ibadah haji bagi tahun ini berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penjelasan terkini itu diperoleh hasil pertemuan beliau bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, semalam.

Terkesan dengan wabak COVID-19, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Pada bulan lepas, Arab Saudi juga menghentikan kemasukan jemaah umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

“Bertitik tolak daripada hal tersebut, saya telah mengadakan pertemuan bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia pada 7 April, dan berdasarkan penjelasan beliau belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkenaan penangguhan ibadah haji bagi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Dr Zulkifli menasihati seluruh umat Islam supaya tidak menyebarkan sebarang khabar angin berkenaan hal tersebut.

“Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak COVID-19 dan memelihara dua Kota Suci umat Islam daripada sebarang perkara yang tidak diingini. Semoga dengan doa dan munajat kita, pelaksanaan ibadah haji pada tahun ini dapat direalisasikan dengan izin-Nya. Aamiin,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: