Ahad, 19 April 2020

Bapa bawa beg penuh syiling untuk bayar kompaun anak

Raja Noraina Raja Rahim
 
DUIT syiling dan wang kertas yang digunakan untuk membayar kompaun. FOTO IHSAN AYU
 

“LELAKI itu bawa duit tabung untuk membayar kompaun anaknya yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata wanita yang mahu dikenali Ayu, 37.

Ayu berkongsi kisah menyentuh hati dilaluinya itu selepas didatangi seorang bapa membawa satu beg kertas berisi syiling dan wang kertas untuk membayar kompaun RM1,000.

Kisah itu mendapat perhatian netizen yang sebahagian besarnya sedih dengan pengorbanan besar bapa kepada anak.

Bercerita lanjut, Ayu berkata, kejadian itu berlaku pada 15 April lalu di sebuah fasiliti kesihatan di Johor.

“Lelaki itu beritahu nak bayar kompaun kerana anak lelakinya berusia 18 tahun ditahan pihak berkuasa. Dia kemudian menyerahkan beg kertas berisi syiling dan wang kertas.

“Saya tanya kenapa ada syiling dan dia beritahu terpaksa keluarkan duit tabung.

“Saya terkejut dan sedih apabila mendengar jawapannya itu. Alhamdulillah, wang diberikan itu cukup untuk membayar kompaun,” katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Ayu, dia tidak menyangka kisah yang dikongsi di akaun Facebook miliknya itu tular dan dikongsi ramai.

“Tetapi malangnya, ada yang buat cerita palsu dengan memuat naik gambar lain.

“Gambar tertera anggota polis dan lelaki beratur di kaunter itu tiada kena mengena dengan kisah saya,” katanya.

Katanya, dia berkongsi kisah berkenaan bukan untuk mengaibkan sesiapa sebaliknya sebagai memberi pengajaran dan nasihat kepada orang ramai supaya mematuhi PKP.

“Saya kongsi itu sebagai peringatan untuk diri sendiri, keluarga dan semua. Ingat jasa orang tua kita.

“Kepada semua terutama anak muda yang masih tidak bekerja dan pelajar, dengar nasihat ibu bapa. Duduk di rumah seperti disarankan kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: