PUTRAJAYA: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sudah memulangkan sejumlah AS$300 juta lagi dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan pagi ini, berkata, jumlah itu adalah dana diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset berkaitan 1MDB bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DoJ) AS.
Katanya, dengan pemulangan AS$300 juta itu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang sudah dipulangkan kepada kerajaan membabitkan nilai AS$620 juta.
Beliau berkata, pada 30 Oktober 2019, penjenayah dikehendaki Malaysia, Jho Low, mencapai penyelesaian dengan DoJ berkenaan beberapa tuntutan pelucutan hak yang difailkan oleh jabatan itu terhadap aset yang dibeli Jho Low menggunakan dana 1MDB.
"Jumlah AS$300 juta ini merangkumi beberapa aset yang dilucut hak dan dijual, serta aset berkaitan 1MDB yang disita dan diserahkan kembali oleh individu tertentu berkait dengan Jho Low.
"Pemulangan AS$300 juta ini bermakna dana 1MDB yang dikembalikan kepada Malaysia, sama ada dalam bentuk hasil proses penjualan ataupun aset, secara keseluruhannya kini berjumlah AS$620 juta," katanya.
Muhyiddin berkata, proses untuk menjual baki aset yang disita daripada Jho Low masih diteruskan atas keputusan penghakiman DOJ.
Justeru, katanya, beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Amerika, terutamanya Kedutaannya di Kuala Lumpur, atas bantuan dan kerjasama utuh dalam melancarkan pemulangan wang berjumlah AS$300 juta itu.
Pada masa sama, Muhyiddin turut berterima kasih kepada Menteri Kewangan Malaysia dan Peguam Negara atas peranan mereka dalam proses rundingan yang berkaitan.
"Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan AS, DoJ dan agensi luar negara untuk membawa pulang lebih banyak aset 1MDB pada masa akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan