Tuesday, March 24, 2020

Wisma Putra mohon bantuan pakar perubatan China tangani Covid-19

Menteri Luar Hishammuddin Hussein.
 
PUTRAJAYA: Wisma Putra akan memohon bantuan pakar perubatan dari China dengan segera bagi membantu petugas barisan hadapan negara ini memerangi wabak Covid-19.

“Melalui hubungan Malaysia-China, Wisma Putra termasuk saya sendiri telah mula berbincang dengan kerajaan China.

“Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan dari 26 hospital di Malaysia akan mengadakan ‘video conference’ dengan pakar-pakar perubatan yang berada di China pada Khamis ini bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan Covid-19,” kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada sidang media mengenai perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Dalam sidang media itu, Yang di-Pertua Dewan Negara merangkap Presiden MIC, S A Vigneswaran turut bersama Hishammuddin.

Hishammuddin berkata lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan banyak lagi negara berjaya pulang ke tanah air.

Beliau berkata Wisma Putra juga setakat pagi ini berjaya membawa pulang seramai 696 rakyat Malaysia yang terkandas di India menerusi kerjasama dengan MIC dan AirAsia.

“InsyaAllah, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat,” katanya.

Berkenaan rakyat Malaysia di Iran, katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Wisma Putra berjaya membawa pulang seramai 46 rakyat Malaysia dari negara itu.

Bagi rakyat Malaysia di Itali, beliau menambah, MKN, Wisma Putra dan perwakilan Malaysia di negara itu sedang berunding bagi memberi kebenaran mendarat khas pesawat, seterusnya membolehkan urusan repatriasi segera dilaksanakan.

Rakyat Malaysia di Bangladesh

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata Wisma Putra melalui perwakilan Malaysia di Bangladesh juga sedang membuat persiapan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana susulan keputusan

kerajaan Bangladesh berkaitan penularan Covid-19.

“Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 367 orang rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh.

“Jumlah ini termasuk 219 orang pelajar yang menuntut di Bangladesh; 55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar; 73 orang yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka dan 20 penjawat awam serta ahli keluarga yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh,” katanya.

Hishammuddin berkata daripada jumlah itu seramai 270 orang bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan meminta 7 penjawat awam kekal bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh.

“Bagi pihak kerajaan, saya amat menghormati dan berterima kasih kerana mereka sanggup kekal di sana demi tugasan kepada negara.

“Semua mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

“Buat masa ini, kerajaan Bangladesh menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.

“Sementara itu, selepas membiayai sepenuhnya kos keseluruhan 6 penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India, hari ini sukacitanya saya mengumumkan kos penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC.

“Saya amat berterima kasih kepada Vigneswaran dan parti MIC kerana tampil ke hadapan dan sanggup membantu Wisma Putra memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.

No comments: