UMNO ONLINE
KOTA
BHARU – UMNO Kelantan tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam
kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS, kata Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Jazlan, dalam masa yang sama turut memohon ahli UMNO Kelantan
agar tidak membincangkan perkara itu di peringkat akar umbi kerana apa
yang penting ketika ini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada
rakyat.
“Bukan jawatan untuk menghalang kita daripada berkhidmat kepada
rakyat kerana kita kini memiliki akses secara terus dengan Menteri Besar
Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
“Kita kini sudah menjadi suara kerajaan dan saya harap pengalaman (di
peringkat kerajaan Persekutuan sebelum ini) dapat digabungkan dan
natijahnya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di
Bangunan UMNO Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata UMNO Kelantan akan menjadi ‘tulang
belakang’ kepada kerajaan Kelantan bagi membuktikan ia adalah pilihan
tepat kepada PAS untuk bergabung dengan parti itu di bawah Muafakat
Nasional.
“Kita nak lihat taraf hidup dan kehidupan rakyat di Kelantan berubah
walaupun keperluan itu mungkin mengambil sedikit masa untuk
dilaksanakan.
“Ia akan menjadi limpahan nikmat kepada rakyat di negeri ini selepas
PAS bersama-sama dalam membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan tetap memainkan
peranan mereka untuk mengimbangi kepimpinan kerajaan negeri walaupun
Kelantan kini tidak mempunyai pembangkang.
“ADUN UMNO dan Bersatu tetap akan membuat teguran dan pembetulan
kepada kerajaan negeri jika ia melibatkan kepentingan rakyat. Walaupun
tiada pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas
ini namun saya yakin kerajaan negeri akan peka dengan suara wakil
rakyat,” katanya.
DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi membabitkan 37 ADUN PAS, tujuh ADUN UMNO dan satu ADUN Bersatu.
Ditanya mengenai penerimaan ahli UMNO Kelantan terhadap Datuk Seri
Mustapa Mohamed yang pernah mengemudi parti itu sebelum berhijrah ke
Bersatu, Ahmad Jazlan berkata ahli akar umbi perlu menerima tokoh
tersebut dengan hati terbuka dan tidak menyimpan dendam di atas
perbuatan beliau sebelum ini.
“Mungkin hati ahli UMNO Kelantan terguris dengan tindakan Mustapa
sebelum ini tapi bila ‘biduk berlalu kiambang bertaut, carik-carik bulu
ayam lama-lama bertaut jua’. Kesetiaan kita kepada parti adalah jelas
dan kita akan terima (Mustapa) dengan hati terbuka. Kita mesti fokus
kepada kerajaan baharu dan berusaha meyakinkan rakyat kita lebih
berwibawa daripada kerajaan lepas,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment