Monday, March 23, 2020

Satu lagi kumpulan fail saman cabar kewujudan sekolah vernakular

Ikatan Muslimin Malaysia memohon pengisytiharan untuk 2 
peruntukan di bawah Akta Pendidikan yang membenarkan 
penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar 
di sekolah vernakular, bertentangan Perkara 152 Perlembagaan 
Persekutuan.
 
KUALA LUMPUR: Satu lagi kumpulan memfailkan saman untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini menjelang pendengaran kes pada Mei ini.

Saman terbaru itu difailkan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya.

Beliau memohon pengisytiharan untuk 2 peruntukan di bawah Akta Pendidikan yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular, bertentangan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia.

Isma mahu mahkamah mengisytiharkan Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan tidak berperlembagaan.

“Kami berpendapat kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 28 dan 17, tidak mengikut Perlembagaan kerana sekolah itu tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar,” kata kumpulan itu yang turut menamakan kerajaan dan Kementerian Pendidikan sebagai defendan.

Pihak lain yang mencabar kewujudan sekolah vernakular adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru) dan peguam Khairul Azam Abdul Aziz.

Saman Khairul akan didengar 5 Mei ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan.

Mahkamah membenarkan 14 pertubuhan dan parti politik menjadi pencelah dalam saman Khairul.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Sofian Abd Razak akan mendengar permohonan 14 pertubuhan dan parti politik untuk menjadi pencelah dalam saman GPMS serta Mappim pada 21 Mei ini.

No comments: