Monday, March 23, 2020

MCA, DAP berebut jadi jaguh iktiraf UEC

tyrazalhe

 

Dong Zong tolak syarat lulus BM kerana hasutan dari DAP

BANGI – Presiden parti perkauman, MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang berusaha menawarkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan beberapa syarat tertentu sekitar tahun 2013.

Beliau mendakwa, sewaktu Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pada 2013, beliau menjemput kepimpinan Dong Jiao Zong untuk berbincang dengannya dan meletakkan lulus Bahasa Melayu (BM) sebagai syarat pengiktirafan UEC.

Bagaimanapun, menurut Ka Siong, kepimpinan Dong Zong menolak tawaran berkenaan pada waktu itu kerana mendakwa wakil yang hadir antaranya DAP menghasut untuk tidak bertolak-ansur dengan syarat berkenaan.

“Kami juga berjaya meluluskan usul di Dewan Rakyat membenarkan calon yang memiliki sijil UEC memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG) sehinggalah Chong Sin Woon tidak lagi memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan, pengambilan calon UEC ke IPG tidak pernah putus sejak 2011.

“DAP menipu masyarakat Cina dengan janji mereka untuk mengiktiraf UEC sebaik sahaja mereka dapat menguasai kerajaan Pusat, pada hakikatnya mereka tak berjaya membawa apa-apa hasil,” katanya dalam ceramah di Sabah, pada September tahun lalu.

Menteri Pengangkutan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu turut menyelar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menjadi Menteri Besar Selangor yang mengatakan bahawa kerajaannya mengiktiraf UEC.

“Saya dengar rasa nak pitam sebab pada 1996 Akta Pendidikan 555 telah diluluskan di Dewan Rakyat, penubuhan UTAR adalah tertakluk di bawah akta ini. Ambilan pertama seramai 411 orang pelajar pada 2002 antaranya sudah ada pelajar lepasan UEC.

“Lebih 20 tahun sudah dilaksanakan pengambilan lepasan UEC ke IPTS, tiada apa yang menghairankan apabila UNISEL menerima lepasan UEC kerana UNISEL adalah sebuah IPTS seperti UNITEN dan UTAR.

“Jadi, bukan kerana kemenangan PH pada 2018, maka UEC diterima di UNISEL tetapi kerana semenjak 90-an lagi, MQA telah menerima UEC sebagai syarat ambilan pelajar,” dakwa Ka Siong.

Menurut Ka Siong, ketika BN memerintah, kebajikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dibela dengan pelbagai peruntukan dana, dan PH ketika mentadbir negara hanya meneruskan apa yang dibuat kerajaan dahulu.

“Rakan-rakan di Sabah jangan salah sangka, rakan-rakan di Semenanjung jangan percaya sudah ada lima buah negeri iktiraf UEC takut nanti ketika temuduga (pekerjaan) baru tersedar hakikat sebenar mungkin waktu itu sudah terlambat.

“Di sini saya ulang, waktu paling manis adalah akhir bulan Mac- awal April 2013, PM sendiri menjemput Dong Zong untuk menerima syarat pengiktirafan UEC iaitu kredit BM, tetapi wakil yang hadir antara DAP menghasut tidak dapat bertolak-ansur.

“Tapi sekarang mereka memerintah (sewaktu PH jadi kerajaan) perkara ini sepatutnya sudah diterima, jadi bila anda menunding jari pada orang lain, tiga jari lagi menunding pada diri anda,” kata Ka Siong.


No comments: