UMNO ONLINE
KUALA
LUMPUR – Lebih kurang 50,000 anggota terdiri daripada tentera,
polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan kini memantau pematuhan orang
ramai terhadap Perintah Kawalan Pergerakan dalam mengekang penularan
wabak COVID-19.
Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain majlis
keselamatan negeri, pusat pengurusan bencana daerah juga akan digerakkan
untuk menguatkuasakan dengan tegas peraturan itu.
Beliau
berkata walaupun sehingga ini polis mendapati kadar pematuhan terhadap
perintah itu adalah 90 peratus, beliau memandang serius baki 10 peratus
itu memandangkan bilangan mereka juga besar jika diambil kira bilangan
penduduk lebih 31 juta orang di negara ini.
Kerajaan juga setuju tempatkan polis dan tentera di kawasan pasar,
pasar raya pantau pematuhan penjarakan sosial, kata Ismail Sabri yang
juga merupakan Menteri Pertahanan dalam sidang media di Putrajaya, hari
ini.
Langkah itu perlu kerana tempat-tempat seperti pasar pagi dan pasar raya masih sesak walaupun perintah itu berkuatkuasa.
Mengenai penugasan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ismail
Sabri berkata ia dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan
bukannya mengambil sebarang tindakan atau melaksanakan perintah darurat.
“Banyak khabar angin dan cerita tidak betul apabila kerajaan umumkan
penglibatan ATM membantu polis. Kononnya setiap sekatan jalan raya ada
kereta kebal. Nampak lucu. Tetapi inilah yang dihebohkan untuk takutkan
orang ramai.
“Anggota ATM hanya membantu polis untuk menasihatkan orang ramai
untuk patuh kepada arahan. Apa yang dilaksanakan adalah berkaitan akta
pencegahan KKM, bukannya di bawah undang-undang darurat atau Majlis
Keselamatan Negara.
“Memang benar ada hukuman penjara dua tahun, tetapi setakat hari ini,
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu masih di peringkat
nasihat. Namun mungkin berubah kepada tindakan yang lebih tegas jika
tahap pematuhan masih rendah,” katanya.
Ismail Sabri sekali lagi menegaskan, penglibatan anggota ATM hanyalah
untuk membantu polis dan bukan mengambli alih tugas mereka termasuk
berkaitan tangkapan.
Ismail Sabri menjelaskan, ATM akan membantu polis dalam melakukan
sekatan jalan raya, rondaan di kawasan bandar termasuk di hospital,
selain turut melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
(APM) dan Rela.
“Penugasan ini termasuk kawalan di pintu masuk dan sempadan selain
kawasan berisiko tinggi.
Selain tentera, kita juga dapatkan bantuan RELA
seramai 1,462 anggota dan kira-kira 3,000 APM. Satu jawatankuasa
dikendalikan polis, akan berbincang dari masa ke masa untuk penambahan
anggota RELA,” katanya.
Beliau berkata selain itu, anggota polis dibantu ATM dan pihak
berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau majlis
daerah akan berada di lokasi orang ramai dilihat masih gagal mematuhi
PKP seperti di pasar pagi dan pasar raya seluruh negara.
“Kita dimaklumkan, masih ada pelanggan yang bersesak-sesak untuk
membeli barang keperluan.
Social distancing (jarakan sosial) satu meter
tidak dipatuhi. Saya faham pengguna perlu mendapatkan keperluan harian,
tapi tolong renggangkan (jarak antara pelanggan lain),” katanya.
Mengenai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid
Seri Petaling, Kuala Lumpur, Ismail berkata polis telah berjaya
mengesan hampir 9,000 individu setakat ini, dan mereka serta ahli
keluarga masing-masing, diminta tampil membuat pemeriksaan di klinik
atau hospital berdekatan.
Nasihat yang sama turut ditujukan kepada jemaah tabligh yang bukan
warganegara Malaysia untuk menjalani saringan kesihatan di pusat
kesihatan berdekatan bagi mengetahui status terkini kesihatan mereka,
katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment