Tuesday, March 24, 2020

Esok gaji, jangan serbu bank dan mesin ATM

Wartawan SuaraMerdeka 
ESOK, penjawat awam dan mereka yang bekerja di sektor swasta bakal menerima gaji masing-masing.

Sebagai peringatan, orang ramai dinasihatkan jangan menyerbu bank-bank dan mesin pengeluaran wang (ATM) kerana mahu membuat pengeluaran ataupun transaksi perbankan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan orang ramai agar mematuhi jarak sosial atau sosial distancing selain daripada Perintah Kawalan Pergerakan.

“Gaji akan dibayar oleh kerajaan dan majikan masing-masing esok.  Akan berlaku kesesakan di bank dan mesin ATM.

“Diseru jangan berpusu-pusu di bank atau di ATM. Akan minta polis dan tentera, jika perlu, mengawal di kawasan-kawasan bank.

“Kita mengharapkan orang ramai pematuhan jarak sosial  apabila proses pengeluaran wang di ATM dan bank,” katanya pada sidang akhbar sebentar tadi.

Ismail berkata, bantuan pengawal keselamatan bank atau security guard akan diperlukan bagi menentukan jumlah kemasukan serentak.

“Ini akan ditentukan oleh pihak bank. Bank akan tentukan berapa ramai yang akan berada dalam bank untuk pastikan penjarakan sosial dilakukan sewaktu pengeluaran wang.

“Ikut arahan petugas di bank sama ada polis bantuan atau PDRM atau ATM yang bertugas,” ujarnya.

Pada sidang akhbar yang sama, Ismail turut mengumumkan, satu special task force yang dianggotai oleh tiga kementerian akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri Kanan.

“MITI, Kementerian Pertanian dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan duduk di dalam special task force ini.

“Tiga kementerian ini dengan ahli jawatankuasanya akan membincangkan tentang bekalan dan rantaian permulaan agar ikan dan sayur, boleh diperoleh tanpa masalah.

“Penghantaran bahan-bahan seperti ikan dan sayur dilaporkan ada sedikit masalah kerana ada waktu kenderaan yang membawa makanan dan bahan-bahan seperti sayur dan ikan, tidak dapat digunakan disebabkan oleh sebab tertentu.

“Kita akan pastika bahan makanan dikeluarkan, dihantar dan pembungkusan boleh dilakukan.

“Konsep dari ladang ke pengguna berterusan dan tidak terganggu,” tegas Ismail. – SM



No comments: