Sunday, March 22, 2020

COVID-19: ATM, PDRM diminta berkeras

siti hafidah 

 

Masih ramai berdegil pada permasalahan disifat sebagai serius


BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa berkeras kepada mana-mana pihak yang ingkar atau sengaja tidak mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam usaha menangani penularan COVID-19.

Gesaan itu dilontarkan Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari susulan kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang masih tidak “faham bahasa”.

Beliau berkata, walaupun nampak seperti satu jenaka apabila tular video pihak polis menegur masyarakat berkenaan kedegilan mereka tidak mengikuti PKP, namun hakikatnya ia sesuatu yang serius.

“Saya muat naik video ini sebagai salah satu kenangan manis anggota PDRM kita yang bertugas tetapi sebenarnya mereka sayang kepada keselamatan masyarakat. Marah-marah sayang,” katanya hari ini.

Dalam video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang anggota polis memberi arahan kepada penduduk sekitar untuk berada di dalam rumah dan tidak berkumpul di luar rumah.

“…ada dengar arahan ke tidak ada dengar. Mahu cakap macam mana lagi supaya boleh faham. Suruh duduk dalam rumah, duduk dalam rumah jangan keluar,” kata polis berkenaan.

Video itu bukan sesuatu yang baharu memandangkan sudah banyak video tular di media sosial menunjukkan anggota polis memberi arahan kepada rakyat supaya mematuhi arahan pelaksanaan PKP.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar mematuhi PKP yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu.

Muhyiddin menegaskan, tujuan utama perintah itu dikeluarkan adalah mengelakkan penularan wabak COVID-19, dan ia tidak akan berjaya jika pergerakan rakyat terutamanya pergerakan balik kampung berterusan.

Hari ini ATM akan digerakkan dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.


No comments: