Monday, March 23, 2020

75 peserta tabligh dari Johor belum ‘serah diri’

sitifatimah

 

'Saya tegaskan akan cari mereka sampai ke lubang cacing'


JOHOR BAHRU- Terdapat 75 individu dari negeri ini yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, masih belum “menyerah diri’ bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, jumlah ini turut melibatkan 29 orang warga Bangladesh, 10 Rohingya dan lapan Thailand.

Beliau berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 1,450 jemaah tabligh dari Johor yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut (1,450 orang), 1,375 telah dikesan serta menjalani saringan kesihatan dengan 1,346 orang didapati negatif manakala 29 positif, satu maut dan satu kritikal,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke lokasi OP COVID-19 di Jalan Tampoi Lama, di sini, hari ini.

Katanya, sehubungan itu, polis menyeru mereka yang belum berbuat demikian agar membuat pemeriksaan saringan kesihatan di klinik dan hospital berdekatan secepat mungkin.

“Saya nak tegaskan bahawa kita akan cari mereka ini sampai ke lubang cacing. Jadi sekarang, eloklah mereka serah diri, buat saringan kesihatan,” katanya. – Bernama


No comments: