Monday, March 25, 2019

Pencemaran sungai: Maszlee junjung titah Sultan Johor

Tyrazalhe

MP Simpang Renggam akan pastikan isu sungai tercemar selesai


BANGI – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Ismail hari ini, untuk segera menyiasat pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap.

Menteri Pendidikan itu berkata, beliau kini berada di kawasan terbabit bagi meninjau dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai masalah itu.

“Selepas patik berhubung dengan pihak Istana mengenai perkara ini, Tuanku segera bertitah dan patik amat berterima kasih di atas keprihatinan Tuanku.

“Patik akan berusaha sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan. Sebarang maklumat lanjut akan patik maklumkan daripada semasa ke semasa,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah mahu pihak berkuasa segera menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pencemaran di dua sungai di Simpang Renggam itu, kerana tidak mahu kejadian seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang.

Baginda juga mahu pihak berkuasa berkaitan segera mengemukakan laporan berhubung pencemaran itu.

“Lakukan siasatan dan saya juga mahukan laporan segera berhubung perkara ini. Sesiapa sahaja terlibat perlu bertanggungjawab kerana melakukan pencemaran terhadap sungai-sungai.

“Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di sekitar Kampung Ulu Benut mendakwa sungai di kawasan itu tercemar apabila warnanya berubah menjadi hitam dan berbau busuk.

Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Zon Tiga, Mohamad Zaki Abdul Kadir berkata, keadaan itu menyebabkan penduduk bimbang lebih-lebih lagi apabila ikan di dalamnya ditemui mati.


No comments: