Monday, March 25, 2019

Beri jawatan Pengerusi PAC kepada pembangkang

ainulillia 

Lantikan dalam kalangan kerajaan bertentangan dengan manifesto PH


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan supaya jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang dari UMNO.

Beliau berkata, Ahli Parlimen dari UMNO paling layak dipilih memandangkan mereka mempunyai anggota paling ramai dari segi blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Bukan itu sahaja, katanya, kerajaan juga perlu meneruskan amalan melantik Ahli Parlimen pembangkang untuk mengetuai PAC.

Katanya, kedudukan Pengerusi dan Naib Pengerusi PAC yang diwakili Ahli Parlimen dari kerajaan ketika ini bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH), malah ia disifatkan bukan amalan biasa seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Kalau zaman Barisan Nasional (BN), pengerusi dari BN dan timbalan (naib) dari pembangkang.

“Sekarang pengerusi dan timbalan (naib) semua dari kerajaan. Kita nampak agak lari jauh dari amalan asal. Paling tidak kalau pengerusi dari kerajaan, timbalan (naib) mesti dari pembangkang,” katanya.

Beliau yang dipetik BH Online berkata, UMNO difahamkan sudah mengemukakan nama calonnya untuk dipertimbang mengisi jawatan itu.

“Dalam pembangkang, UMNO parti paling ramai. Dalam keadaan ini UMNO lebih wajar memilih siapa mahu jadi calon (pengerusi PAC).

“Saya difahamkan, UMNO sudah mengemukakan calon mereka tapi belum dilantik,” katanya.


No comments: