Wednesday, March 27, 2019

Si kecil derita lima penyakit

Noorazura Abdul Rahman
 
 
 

YAN: Selepas hampir tujuh bulan berlalu, nasib bayi sindrom Down yang turut menghidap empat penyakit berkaitan jantung selain dilahirkan tanpa lubang dubur mengalami sedikit perubahan.

Ibunya, Zuraidah Azlinda Mehad, 35, berkata, Muhammad Rezfan yang kini berusia 11 bulan sudahmenjalani pembedahan membuat lubang dubur pada Januari lalu serta katarak pada Februari lalu.

Bagaimanapun, Rezfan masih tidak boleh membuang air besar secara normal berikutan perlu melalui proses menjolok lilin pelbagai saiz melalui lubang dubur.

“Selepas membuat pembedahan katarak, doktor mata meminta kami menghentikan dahulu proses ‘menjolok lilin’ kerana tidak mahu Rezfan menanggung risiko jangkitan kuman jika dia terlalu banyak menangis.

“Keadaan Rezfan yang kerap demam menyukarkan rawatan berikutan tumbesarannya perlu mencapai 10 kilogram sebelum boleh melakukan pembedahan untuk jantung pula,” katanya di rumahnya di Kampung Pulau Emas, di sini.

Zuraidah berkata, selepas kisah mengenai Rezfan disiarkan di akhbar Harian Metro pada 24 Oktober lalu, pelbagai pihak tampil membantu termasuk orang ramai yang menghulurkan bantuan wang.

Ia termasuk bantuan geran daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebanyak RM3,000 untuk membeli peralatan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Wang bantuan yang diterima sebelum ini sudah habis digunakan untuk rawatan dan perbelanjaan ulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kuala Lumpur.

“Kami gunakan wang itu sebagai amanah masyarakat untuk menampung kos perubatan Rezfan, malah ketika di HKL untuk melakukan pembedahan katarak, suami (Mohd Fazli Muhamad Radzuan, 35) dan dua lagi anak mereka hanya tidur dalam kereta selama seminggu.

“Wang itu sudah habis kami gunakan untuk membeli pelbagai kelengkapan untuk Rezfan dan kami teruskan mencari duit hasil menjual ais kacang dan makanan ringan di depan rumah.

“Namun sejak akhir-akhir ini suami saya tidak berniaga kerana kurang sihat berikutan tangan kirinya kebas. Saya bimbang masalah jantungnya berulang,” kata guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang memperoleh gaji RM850 sebulan.

Ibu kepada empat anak ini berkata, dia berharap orang di sekeliling memahami keadaannya dan tidak mencemuh suaminya.

Suaminya tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga Rezfan yang perlu diberi susu khas melalui tiub. selain anak bongsu mereka itu sering demam dan menghidap gastrik serta tiroid darah.

Sebelum ini HM melaporkan, Muhammad Rezfan menghadapi masalah saluran utama jantung yang sempit dan berlubang di tengah, injap jantung menerima darah tidak beroksigen serta jantungnya lebih ke kanan.

Fazli terpaksa berhenti kerja pada awal tahun lalu untuk menjaga isterinya yang kerap dimasukkan ke wad akibat masalah radang hati serta pendarahan sebelum bersalin.

Apabila Rezfan dilahirkan, masalah sama turut berlaku dan dia kini terpaksa berulang-alik ke hospital setiap minggu.
 
 

No comments: