KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan digesa supaya membenarkan
perbicaraan bagi kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak disiar secara
langsung termasuk menerusi stesen televisyen tempatan.
Penasihat NGO-NGO Saudara Islam Semalaysia, Shafik Abdullah berkata,
langkah itu perlu memandangkan individu yang disabitkan dengan kesalahan
berkaitan 1MDB dan SRC International merupakan bekas perdana menteri
yang pernah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya berteraskan
demokrasi.
Menurutnya, ia juga bagi mengelak laporan tidak tepat oleh segelintir
media khususnya antarabangsa yang turut membuat liputan bagi kes
tersebut.
“Pihak kami berpendapat bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak dan
kepentingan untuk mengikuti perbicaraan tersebut secara langsung dan
bukan hanya bergantung kepada laporan oleh pihak media.
“Perbicaraan yang melibatkan Datuk Seri Najib ini juga merupakan kes
berkepentingan awam dan ia wajar disiarkan terus sebagaimana
berlangsungnya sidang Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media hari ini.
Shafik mendakwa, kebanyakan media tempatan dan luar negara tidak
melapor secara jujur perkembangan kes berkenaan hingga ada yang cuba
mensensasikan serta membuat spekulasi.
Malah, perbicaraan itu perlu dibuat dalam mahkamah terbuka sesuai dengan konsep keadilan terbuka.
Ujarnya, kes berkenaan mendapat perhatian umum dan ruang kamar
mahkamah yang terhad tidak mungkin dapat menampung bilangan orang awam
yang ingin mengikuti perbicaraan tersebut secara langsung.
Katanya lagi, bagi tujuan itu, pihaknya telah menghantar satu surat
permohonan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Dalam
Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia,
Pejabat Peguam Negara, Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Pejabat Perdana
Menteri dan pejabat Ketua Hakim Negara.
Katanya, surat tersebut yang bertarikh 21 Februari telah dihantar
kepada pihak-pihak berkenaan pada 27 Februari namun sehingga kini belum
meneriam maklum balas.
Bagaimanapun, ketika surat tersebut dihantar tidak ada sebarang
bantahan mahupun penolakan daripada pihak tersebut dan langkah susulan
bagi mendapatkan jawapan mengenainya akan dibuat Isnin depan.
Jelasnya, permohonan untuk mengadakan siaran langsung itu juga telah
dimaklumkan kepada Najib dan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai
sebarang halangan mengenainya.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang menunggu jawapan daripada
pihak-pihak yang berkenaan dan berharap agar permohonan itu tidak
diabaikan.
Sidang media tersebut dihadiri tujuh NGO saudara Islam Semalaysia yang mewakili beberapa NGO Islam yang lain. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment