UMNO terus bekerjasama dengan PAS seperti di PRK Semenyih
REMBAU– Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menganggap usaha mempertahankan kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) kelak
sebagai satu tugas mudah.
“Saya perlu
lebih berhati-hati dan bekerja lebih keras kerana saya akan berdepan
calon dari parti kerajaan,” kata Timbalan Presiden UMNO itu merujuk
kepada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah, yang terdiri daripada
gabungan Bersatu, PKR, DAP dan Amanah.
Esok ialah hari penamaan calon bagi PRK Rantau dan hari pengundian ditetapkan pada 13 April.
PRK Rantau
diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad
untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16
November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan
pada PRU14, terbatal dan tidak sah.
Pada Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohamad disytiharkan menang tanpa bertanding
kerusi tersebut selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang
masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan
SPR.
Bercakap
pada sidang media, Mohamad merujuk kepada kenyataan setiausaha penganjur
DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa PRK Rantau merupakan ibu kepada
segala pilihan raya kecil.
Mohamad juga berkata UMNO akan terus bekerjasama dengan PAS seperti yang dilakukannya pada PRK Semenyih.
Bekas
Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendakwa terdapat sesetengah pihak
yang bertaruh keputusan PRK itu dan beliau menasihati mereka supaya
menghentikannya bagi mengelak perbuatan itu mempengaruhi para pengundi
dan seterusnya mempengaruhi keputusan PRK itu.
Mohamad berkata, beliau bagaimanapun tidak akan membuat laporan polis mengenainya.
Kawasan DUN
Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804
pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.
PRK DUN
Rantau adalah PRK ketujuh sejak PRU14. Pilihan raya kecil yang diadakan
sebelum ini adalah PRK negeri Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas);
kerusi negeri Balakong dan Seri Setia (8 September tahun lepas); kerusi
Parlimen Port Dickson (13 Oktober tahun lepas); kerusi Parlimen Cameron
Highlands (26 Januari) dan kerusi negeri Semenyih (2 Mac). – Bernama
No comments:
Post a Comment