Tuesday, March 26, 2019

PKR riuh kerana Nurul Izzah

 


PETALING JAYA: Media sosial riuh ekoran kata-kata Nurul Izzah Anwar dalam temubual akhbar pada Ahad, di mana dia menggambarkan Dr Mahathir Mohamad “bekas diktator”.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali nampak seperti membidas Izzah di Twitter, apabila beliau mengatakan Malaysia perlukan seorang pelaksana yang sanggup merentasi keadaan sukar dan bukan budak kecil yang merengek.

Izzah sebelum itu memberi gambaran penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.

“Apa pun cabarannya, kita mesti pastikan ia berjaya. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai,” kata Azmin.

Ahli majlis pimpinan pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun tidak berpuas hati dengan kata-kata Azmin itu.

“Apabila seorang wanita mempertahankan prinsip, kamu gelarnya budak kecil yang merengek? Dasar murahan,” katanya.

Terdahulu, Izzah berkata dia kecewa dengan perkembangan politik selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa.

Seorang bekas ahli Parlimen PKR, N Surendran mempersoalkan masa, platform dan cara Izzah membuat kenyataannya, yang padanya “salah”.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, yang juga bekas pembantu Izzah, menyukai kata-kata Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan Mahathir di Twitter.

Syed Saddiq memuji Mahathir seorang gila kerja yang mendengar pandangan semua orang. “Beliau selalu mendahulukan Malaysia, walaupun ia bermakna mengorbankan dirinya,” kata menteri dalam pentadbiran Mahathir itu.

Antara yang tampil mempertahankan Izzah adalah seorang pemimpin Pemuda PKR yang berkata pandangan Izzah wajar diterima semua pihak dengan hati terbuka.

“Sesungguhnya pengalaman pahit beliau dan keluarga ketika melalui zaman sukar dan aib adalah sesuatu yang sangat berat dan wajar menjadi iktibar kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meletakkan Izzah sebagai seorang yang berintegriti tidak seperti segelintir pemimpin lain yang sanggup menggadaikan prinsip demi mengejar kuasa dan kedudukan.

Izzah, anak kepada Anwar Ibrahim berkata tidak mudah bekerja dengan bekas diktator yang menjadi punca begitu banyak kerosakan, “bukan sahaja kehidupan kami, tetapi juga sistem”.

Anwar dipenjarakan pada semasa Mahathir menjadi perdana menteri ke-4 atas dakwaan rasuah.

No comments: