Friday, March 29, 2019

Polis Pahang pantau pusat tahfiz tak berdaftar


 Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

 



POLIS Pahang sudah menugaskan pegawai dan anggotanya melakukan pengawasan ke atas pusat tahfiz dan pengajian agama terutama yang tidak berdaftar di Pahang bagi mengelakkan kejadian dera berulang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, langkah itu sudah diambil dengan menugaskan pegawai dan anggotanya melakukan lawatan ke atas pusat tahfiz bagi memastikan tiada sebarang kejadian jenayah yang berlaku di kawasan pengajian agama itu.

“Ibu bapa dan pelajar itu sendiri tidak perlu takut dengan pihak pengurusan (pusat tahfiz) jika berlaku salah laku seperti kes dera dan sebagainya kerana mereka boleh buat laporan polis. Pihak kami akan menyiasatnya.

“Kita akan ambil tindakan bersesuaian mengikut garis undang-undang yang ada pada kita,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan Kembara Komuniti Ketua Polis Pahang sempena peringatan Hari Polis ke-212 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar, di Kuantan, hari ini.

Beliau sebagai mengulas kejadian membabitkan 19 murid di madrasah di Jaya Gading, Kuantan, baru-baru ini, yang didakwa dirotan, dicubit, ditampar dan dimaki hamun sejak beberapa minggu lalu oleh tenaga pengajar di pusat tahfiz itu sebelum laporan polis dibuat.

Kejadian itu menyebabkan beberapa mangsa mengalami cedera di bahagian anggota badan akibat dirotan dan dicubit.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan dan sedang menunggu laporan perubatan dikeluarkan pihak hospital yang dijangka mengambil sedikit masa.

“Buat masa ini belum ada tangkapan dibuat dan kita masih mengesan suspek. Keterangan pelajar, ibu bapa dan pihak pengurusan pusat tahfiz itu sudah diambil bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi memastikan tidak berlaku sebarang penganiayaan dan salah laku ke atas murid dan pelajar pusat tahfiz di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kembara bermotosikal yang dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Mohd Zakaria berkata, ia disertai 150 pegawai dan anggotanya termasuk Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketua jabatan dan ketua polis daerah di Pahang.

“Kembara selama tiga hari ini juga adalah program kemasyarakatan yang akan kita adakan di Bera dan Rompin. Kita akan berjumpa dengan masyarakat setempat dan mereka (penduduk) boleh bertanyakan permasalahan di kawasan mereka yang mungkin kita boleh bantu selesaikan,” katanya.

Berita berkaitan

Ustaz dera 19 murid
[UPDATE] Ustaz kerap tengking, pukul, mencubit murid
'Keluarga mahu cari maahad tahfiz lain'

No comments: