Naib Presiden UMNO perbetul kenyataan kemenangan di Semenyih
BANGI
– Barisan Nasional (BN) memerlukan undian dan dukungan rakyat, termasuk
kaum India dan China, untuk menjayakan Malaysia seperti yang diimpikan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin menjelaskan, artikelnya bertajuk ‘Lima Pengajaran
Kemenangan BN di Semenyih’ semalam tidak bermaksud mengatakan bahawa BN
tidak memerlukan undian Cina dan India di mana-mana pilihan raya
sekalipun.
Sebaliknya, beliau menegaskan BN harus
berusaha mengembalikan semula kepercayaan pengundi Cina dan India kepada
parti itu, kerana setiap undi adalah penting.
“Seperti yang saya telah katakan,
meskipun BN tidak mendapat sokongan kaum Cina, dan hanya 40 peratus undi
dari kaum India, orang Melayu masih boleh menghantar signal yang jelas
kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menzahirkan ketidakpuasan
mereka dengan mengundi calon BN.
“Justeru, saya berharap artikel semalam
diadili secara objektif mengikut konteks Pilihan Raya Kecil Semenyih
sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, dalam artikel bertajuk ‘Lima
Pengajaran Kemenangan BN di Semenyih’ Khaled menyatakan BN menang tanpa
sokongan masyarakat Cina dan India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
“Di PDM Bandar Rinching, yang 50 peratus
pengundinya ialah kaum India, sokongan terhadap PH masih lagi sangat
nyata iaitu hampir 60 peratus. Sekalipun begitu, keadaan ini tidak
merencatkan pencapaian BN.
“Sebaliknya menunjukkan impak kemenangan
BN tanpa sokongan bangsa Cina dan India. Pada masa yang sama, ini juga
bermakna BN mesti bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan India
dan Cina kepada BN,” katanya.
Pada PRK Semenyih Sabtu lalu, BN menawan
semula kerusi kawasan itu selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi
persaingan empat penjuru dengan majoriti 1,914 undi.
Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk
menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866
undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM)
(847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng,
56, (725 undi).
No comments:
Post a Comment