Isnin, 7 Januari 2019

Pemimpin, netizen luah rasa sedih dan terkejut peletakan jawatan Agong

Bernama
Pemimpin, netizen luah rasa sedih dan terkejut peletakan jawatan Agong
Rakyat Malaysia menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan berita peletakan jawatan itu.
 
PEMIMPIN dan kebanyakan netizen di media sosial menzahirkan rasa terkejut dan sedih dengan berita peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Berita peletakan jawatan itu yang diketahui sejak lewat petang Ahad mendapat pelbagai reaksi dan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat Seri Paduka sepanjang memegang jawatan tertinggi negara.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan ringkas di Facebook merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Muhammad V atas khidmat baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

"Kami rakyat Malaysia berdoa agar Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan dan dilindungi Allah SWT. Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku!," katanya.

 Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar turut menjunjung kasih kepada Sultan Muhammad V kerana memberi pengampunan penuh kepada ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga Malaysia tidak meneruskan lagi penahanan mana-mana tahanan politik," katanya dalam Twitter.

 Berikutan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu, netizen ada yang tertanya-tanya siapakah pengganti kepada Sultan Muhammad V.

BACA: Sultan Muhammad V letak jawatan

BACA: 'Sila duduk, jangan lari' kenangan rakyat dengan Sultan Muhammad



Antara sebahagian komen netizen ialah Syamil Hmd yang berkata "Sedih tuanku. Tapi apa-apa pun raja bernaung di atas takhta melindungi rakyat. Allahuakhbar, Daulat Tuanku."

Mohd Irwan Shaffii pula menulis: "Pertama kali dalam sejarah. Agong letak jawatan. Sebelum ini tak pernah berlaku."

Seorang lagi netizen Shahril Aziz melontar pandangan dengan mengungkap kembali kata-kata baginda yang tular:

"Ingat dulu jenaka Tuanku masa pembukaan sidang parlimen... Ayat tengah hot masa tu "duduk jangan lari"." -- BERNAMA

Tiada ulasan: