Semalam, pegawai pentadbiran kanan yang dinaikkan pangkat sebagai ketua setiausaha (KSU) melapor diri bertugas di tempat kerja baharu, selain beberapa KSU lain yang bertukar kementerian.
Mengikut laporan media sebelum ini, seramai 12 KSU terbabit dalam rombakan berkenaan, iaitu tujuh bertukar kementerian, manakala lima lagi membabitkan kenaikan pangkat, disertakan sekali nama serta tempat tugasan masing-masing.
Jadi, agak mengejutkan apabila tiba hari mereka memulakan tugasan semalam, ada KSU yang sebelum ini diumum akan bertukar kementerian, sebaliknya kekal di tempat lama, manakala yang sepatutnya ke kementerian A kemudian ditukarkan ke kementerian B. Harus diingat, rombakan yang dilakukan ini membabitkan pegawai kanan anggota pentadbiran awam di bawah kerajaan baharu, sekali gus turut mendapat tumpuan pelbagai pihak serta rakyat.
Walau apa pun alasan yang diberi, perubahan pada saat-saat akhir pasti mengundang tanggapan buruk, menjadi isu dan menghadirkan persoalan apa punca ia dilakukan, malah ada pihak mendakwa campur tangan politik turut mempunyai kaitan. Sepatutnya, sebelum membuat apa juga keputusan, dapatkan pandangan dan persetujuan semua pemegang taruh atau pihak berkaitan, bincang dan perhalusi sedalam-dalamnya sebelum diumum supaya nanti tidaklah dilabel flip-flop.
Sokong gubal Akta Bahan Khayal
Gejala ketagihan gam serta penyalahgunaan petrol, aerosol, cat sembur, cecair pemetik api atau najis lembu sebagai bahan perangsang bukan perkara baharu dan kesannya juga diketahui memang menakutkan, namun ia masih berterusan. Adakah kita mahu terus membiarkan sahaja tabiat buruk itu membelenggu warganegara kita, melihat generasi muda terus hanyut hingga akhirnya ada yang menemui ajal secara sia-sia? Justeru, cadangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menggubal akta khusus bagi memerangi ketagihan gam serta pelbagai bahan khayal lain memang sangat wajar ketika ramai menilai pihak berkuasa seakan-akan kurang serius menangani gejala terbabit yang majoriti pelakunya adalah remaja.
Tidak cukup sekadar mendidik, sebaliknya perlu juga membabitkan penguatkuasaan serius, termasuk penetapan perundangan khusus seperti Akta Bahan Khayal yang bakal dicadangkan AADK pada Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Undang-Undang Membanteras Dadah Khamis ini. Akta khusus yang sifatnya lebih kepada unsur menyelamat berbanding menghukum, cukup penting kerana desakan untuk melihat perbuatan menghidu gam disenaraikan sebagai jenayah mengikut undang-undang berkaitan seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 sudah lama dibangkitkan.
Kita berharap melalui akta baharu ini, beberapa syor dapat dikemukakan, antara lain memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan, khususnya AADK mengatur gerak, termasuk mengambil tindakan bersesuaian bagi mengekang gejala tidak berfaedah itu. Kita juga berharap, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja menyasarkan penagih, tetapi juga pihak yang mementingkan untung mudah dengan membekalkan bahan boleh merangsang perasaan khayal, walaupun menyedari tujuan sebenar ia dibeli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan