Ahad, 6 Januari 2019

Kayveas: Jika saya bertanding, BN tak beri laluan pada MIC

MALAYSIAKINI

   

Presiden MyPPP, M Kayveas percaya BN tidak akan meletakkan calon daripada MIC jika beliau bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Jika saya diumumkan sebagai calon (untuk Cameron Highlands), BN tidak akan memberikan kerusi kepada MIC. Ini pendapat saya, saya mungkin salah.

"Mereka tahu saya telah bekerja di sana selama empat tahun, saya sangat akrab dengan rakyat.

"Secara matematik, ia adalah salah (mereka letakkan calon) kerana anda lihat, di kalangan orang India, saya lebih popular daripada MIC di sana," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selain berkhidmat di Cameron Highlands selama bertahun-tahun dan popular di kalangan pengundi, Kayveas berkata beliau percaya perpecahan MIC di kawasan itu juga akan menyukarkan parti itu.
Kerusi Cameron Highlands secara tradisinya dimiliki oleh MIC.

Kayveas sebelum ini melobi untuk bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14, tetapi BN akhirnya memilih C Sivaraajh sebagai calon MIC.

Kayveas kemudian meletakkan jawatan presidennya MyPPP, namun kemudian kembali dan mengumumkan parti itu tidak akan keluar BN.

Bercakap kepada Malaysiakini, Kayveas berkata beliau 'bebas' untuk membuat keputusan tanpa terikat kepada mana-mana gabungan.

Majlis Tertinggi MyPPP dijangka mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan sama ada ia akan mempertahankan kerusi Cameron Highlands.

Kayveas berkata beliau optimis mengenai hasil mesyuarat itu dan yakin akan menjadi calon pilihan parti itu.

PRK Cameron Highlands diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lalu, yang membatalkan kemenangan calon BN C. Sivarraajh ekoran berlaku unsur rasuah pada PRU14.

MIC tidak merayu keputusan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Jan sebagai hari penamaan calon dan 26 Jan sebagai hari mengundi.

SPR juga telah membatalkan kelayakan Sivarraajh daripada bertanding atau mengundi dalam pilihan raya selama lima tahun.


Tiada ulasan: