Thursday, November 1, 2018

BN GUNA NAMA BAHARU – NAZRI


Wartawan Watan-Online




Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan parti itu akan menggunakan nama baharu bagi meraih kembali sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, BN perlu dijenamakan semula kerana nama itu sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat.

“Nama apa pun asalkan bukan BN…BN dah tak boleh dah, tapi itu bukan keputusan saya.

“Mungkin kita boleh namakan BN seperti Gabungan Bersatu Sabah (GBS) sebab di sana, Ahli Parlimen diizinkan untuk bergabung dengan parti seperjuangan lain.

“Kita boleh guna nama GBS juga, Gabungan Bersatu Semenanjung kerana BN dah tak laku di Sabah dan Sarawak dan kita kena hadapi kenyataan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemungkinan BN dibubarkan selepas mengalami kekalahan teruk pada PRU14 yang lalu.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata beliau akan bertemu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti.

“Saya masih menunggu masa yang sesuai kerana beliau sibuk.

“Hal MCA pula, kita tunggu selepas selesai pemilihan untuk perbincangan lanjut sebab tiada gunanya saya ulas sekiranya keputusan rasmi belum diketahui,” katanya.

No comments: