THE MALAYSIAN TIMES
SUBANG JAYA: Polis memberi jaminan akan melakukan siasatan agresif dan menangkap mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 di sini, yang menyaksikan tujuh lelaki telah ditahan sehingga 12 tengah hari ini.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30-an.
Selain memberi amaran supaya semua pihak mematuhi undang-undang dan tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor meminta semua pihak bertenang bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.
“Siasatan sedang dibuat secara agresif dan tangkapan akan dibuat,” katanya tegas, dan menambah kata bahawa siasatan melibatkan perbuatan khianat dan merusuh.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, beliau berkata dua individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi ini akibat tercedera dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi ini.
“Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal turut dibakar dalam kejadian tadi, sebuah kereta peronda polis turut dirosak akibat dibaling batu oleh perusuh,” katanya pada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari.
Mazlan berkata kini keadaan di kawasan sekitar kuil ini sudah kembali tenang dan kira-kira 700 anggota polis terdiri dari Unit Simpanan Persekutuan dan beberapa unit lagi berkawal di sana,” katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar lokasi itu mendapati keadaan tenang dengan kehadiran anggota polis berkawal bagi mengawasi keadaan susulan kekecohan yang belaku awal pagi ini.
Jalan ke kuil berkenaan ditutup manakala polis trafik membuat kawalan di jalan sekitar kawasan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik selepas berlaku kesesakan pada waktu puncak pagi ini.
Tiada kelihatan orang ramai berkumpul di sekitar lokasi itu dan jalan menuju ke kuil ditutup menggunakan kon bagi menghalang sebarang kenderaan dan orang ramai mendekati kuil berkenaan.
Menjelaskan butiran insiden berkenaan, Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 2.45 pagi dan mengarahkan sebuah unit peronda untuk meninjau keadaan.
Namun, kereta peronda itu telah dibaling batu menyebabkan anggota polis berkenaan meminta pasukan bantuan dihantar ke lokasi.
No comments:
Post a Comment