Tuesday, October 16, 2018

Malaysia salur RM1.5j buat warga Palu, Lombok

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan menyalurkan bantuan RM1.5 juta bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu, Sulawesi dan Lombok, Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula mengumpul sumbangan orang awam dan syarikat korporat berjumlah RM5.4 juta untuk disalurkan kepada mangsa tragedi terbabit.

“Kita lihat sumbangan ini memang menolong kerana lepas bencana... untuk membina keluarga dan mencari mangsa dan sekarang ini banyak masalah seperti penyakit malaria dan membina semula rehabilitasi mesti diambil kira,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Menurut Dr Wan Azizah Indonesia amat menghargai sumbangan daripada kerajaan dan rakyat negara ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan daripada kerajaan Johor berjumlah RM315,000 sebagai bantuan kepada Indonesia.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Datuk Osman Sapian.

Sementara itu, Osman berkata bantuan terbabit diharap dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan.

“Jumlah sumbangan ini tak besar, ini sebagai tanda simpati kepada negara jiran,” katanya.

Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan diikuti dengan tsunami itu kini mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.- Bernama


No comments: