Sunday, October 28, 2018

Tak adil menteri DAP serang Kelantan

Wartawan MalaysiaGazette

x44905838_10155675825700952_6423378205419241472_n


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganggap serangan tanpa henti menteri DAP terhadap kerajaan Kelantan sebagai tidak adil.

Terbaru, katanya, serangan dibuat ahli parlimen Pulau Pinang hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hutang kerajaan Kelantan ialah RM1.4 bilion pada tahun 2016.

“Apakah keperluan dan matlamat untuk menghina termasuk tindakan kerajaan pusat untuk mendedahkan surat-surat sulit dari kerajaan Kelantan kepada kerajaan pusat?

“Baru-baru ini, Menteri Kewangan sudah pun mengesahkan bahawa penurunan hutang Pulau Pinang sebanyak 90 peratus ialah jasa kerajaan pusat pada masa itu.

“Selain bantuan tunai yang lain, kerajaan pusat juga telah memberi geran sebanyak RM1.3 bilion kepadanya bagi menaikkan kapasiti Empangan Mengkuang.

“Adakan kerajaan BN (Barisan Nassional) memperlekeh dan bertanya mengapa negeri yang kaya tidak dapat menampung keperluan air sendiri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Najib, apa keperluan kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) menghina Kelantan yang kadangkala memerlukan pertolongan  terutamanya selepas banjir yang teruk akhir tahun 2014.

“Ya, tak dapat dinafikan Kelantan adalah antara negeri paling miskin pada ketika ini tetapi ini ekoran tindakan kerajaan BN terdahulu di bawah PM ke- 4 yang menghentikan projek-projek pembangunan dan keperluan asas kerana ia jatuh di bawah kepimpinan parti lain pada 1990 sehingga tiada satu pun lebuh raya atau infrastruktur air bersih yang sempurna di negeri itu.

“Kerana faktor ini, sumber pendapatan dan pembangunan kerajaan Negeri adalah terbantut,” dakwa Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada akhir tahun 2007, menurut Najib, iaitu sebelum DAP mengambil alih, Pulau Pinang ialah negeri kedua terkaya di Malaysia dengan nilai Keluaran dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita untuk Pulau Pinang sudah pun RM31,039 iaitu 4.5 kali ganda berbanding RM6,943 untuk Kelantan.

Ini bermaksud harga tanah di Pulau Pinang jauh lebih bernilai berbanding Kelantan dan DAP mampu memilih jalan mudah untuk menjual tanah kerajaan seperti satu penjualan seluas 102 ekar tanah di Bayan Mutiara sahaja pada tahun 2012 dan memperolehi RM1.07 bilion, katanya.

“Beribu-ribu hektar tanah dan hak tanah kerajaan Pulau Pinang telah dijual atau pun ditukar sejak DAP mengambil alih. Negeri Kelantan tidak mempunyai jalan mudah yang sama.

“Semasa saya menjadi PM, saya banyak menyalurkan peruntukan bagi memperbetul dan membangunkan negeri Kelantan baik dari segi infrastruktur pengangkutan (lebuhraya CSR, ECRL, pembantuan fiskal, instrastruktur air, projek kumbahan (yang juga telah dibatalkan oleh PH) ataupun penebatan banjir,” ujarnya lagi.

Lanjutan itu, katanya, Kelantan dapat mengurangkan defisit setiap tahun dan KDNK mereka naik 95.8 peratus dari 2008 kepada RM13,593 pada akhir tahun 2017 berbanding kenaikan 60.6 peratus untuk Pulau Pinang pada tempoh yang sama.

Ia bermaksud perkembangan ekonomi Kelantan pada tempoh itu lebih tinggi berbanding Pulau Pinang.

“Rakyat Pulau Pinang ialah rakyat Malaysia. Rakyat Kelantan juga rakyat Malaysia. Negeri yang kurang pembangunan patut dibantu dengan lebih banyak oleh kerajaan pusat – bukan dihina dan diperlekehkan dengan berterusan,” katanya.- MalaysiaGazette


No comments: