Friday, October 26, 2018

Melihat semula RMK ke-11 dan Belanjawan 2019

 
   
ULASAN | Sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sejak 15 Oktober lalu dan dijadual berakhir 11 Disember ini tentulah sangat penting diberikan perhatian. Ini kerana ia sedang membincangkan tentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMK-11) dan diikuti dengan pembentangan Belanjawan 2019.

KSP RMK-11 adalah dokumen dasar pertama yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat sejak peralihan kerajaan pada 9 Mei 2018 yang begitu bersejarah.

Bagaimanapun KSP RMK-11 tentulah tidak menyediakan ruang terlalu besar untuk kerajaan baru mencorak seluruh perancangan baru kerana dalam banyak keadaan ia melibatkan perancangan sejak tahun 2016 dan prestasi yang telah dicapai setakat ini.

Dalam KSP RMK-11 kita dapat melihat bagaimana tidak semua perkara yang dirancang oleh kerajaan terdahulu dapat dicapai. Jelas di sini meskipun kerajaan memiliki pelbagai sumber dan kuasa, tidak semua perkara yang dirancang boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan sempurna, kerana sifat dasar awam yang terdedah kepada pelbagai pembolehubah, terutama berkaitan kewangan.

Namun, ini bukan alasan untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak melaksanakan manifestonya.

Saya berasa gembira kerana dalam tempoh singkat selepas peralihan kerajaan, kita dapat melihat banyak agenda yang digariskan dalam manifesto HARAPAN dan juga Matlamat Pembangunan Mampan.

Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan umum dan kasar tentang hala tuju negara dalam tempoh dua tahun akan datang. Selepas itu, kita akan berpeluang melihat Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), dokumen yang bakal dirangka sepenuhnya oleh kerajaan baru.

Meskipun banyak kritikan dan tekanan terhadap kerajaan baru, setakat ini kita percaya rakyat masih sedia memberi sokongan melalui siri keputusan pilihan raya kecil yang berlangsung.

Justeru itu, HARAPAN mesti yakin untuk bergerak ke hadapan bagi merealisasikan tindakan-tindakan tepat untuk manfaat rakyat.

Jangka pendek dan sederhana RMK

Rancangan Malaysia yang dibuat setiap lima tahun sejak tahun 1965 mempunyai sejarahnya yang tersendiri.

Saya percaya, Tun Razak - timbalan perdana menteri ketika itu - yang kita tahu pernah terlibat dalam gerakan kiri melalui Parti Buruh semasa belajar di United Kingdom, mengambil ilham daripada rancangan lima tahun yang dimulakan oleh Parti Komunis di Kesatuan Republik Sosialis Rusia (USSR) di bawah pimpinan Joseph Stalin antara tahun 1928 ke tahun 1932.

Rancangan lima tahun ini pasti dapat memberikan sedikit rasa kepastian (certainty) kepada banyak pihak. Pada masa sama ia juga berpotensi mengikat kita untuk bersikap anjal sesuai dengan ketidaktentuan pelbagai pembolehubah yang ada.

Maka, kajian separuh penggal seharusnya menjadi ruang untuk menampung keanjalan yang diperlukan.

Perlu disedari, RMK-11 (dan KSP RMK-11) tidak terlepas daripada komitmen kewangan untuk menjayakannya. Komitmen jangka sederhana ini mungkin perlu mempertimbang kerumitan dalam komitmen jangka pendek bakal dikemuka melalui pembentangan belanjawan nanti.

Sebagai contoh, jika kita mengambil kira objektif pembangunan mampan dalam konteks penggunaan teknologi hijau, pastilah kosnya dilihat tinggi dalam jangka pendek sedangkan ia memberi manfaat dalam jangka panjang.

Kerajaan perlu mempertimbang satu kaedah yang bersifat ‘menang-menang’ untuk mencapai objektif kewangan dan pembangunan jangka pendek dan sederhana.

Memandang ke depan

Meskipun RMK-11 ini dan Belanjawan 2019 nanti adalah rancangan jangka sederhana dan pendek, kita juga tidak boleh melepas pandang cabaran masa depan.

Kita mesti melihat tahun 2018 seakan-akan tahun 1918. Dengan kata lain, pada tahun 2050 dan 2099 nanti, mereka yang hidup pada zaman itu mungkin melihat kita pada hari ini sebagai ketinggalan.

Dalam maksud lain, keperluan mereka yang akan hidup di zaman itu kemungkinan besar sangat berbeza dengan keperluan kita dalam jangka pendek dan sederhana. Namun, kesan daripada dasar pada hari ini berpotensi dirasakan pada masa akan datang.

Sebagai contoh, perkembagan populasi tua diunjurkan berada pada kadar sekitar 15 peratus pada tahun 2030 dan seterusnya 30 peratus pada tahun 2050.

Daripada data-data semasa, tanggungan emolumen dan persaraan kini cukup tinggi, sekitar RM50 billion. Jumlah ini akan terus meningkat jika kewajaran saiz kerajaan berbanding ekonomi tidak dihitung.

Manakala seramai 54 peratus pencarum KWSP memiliki simpanan kurang RM50,000 setahun ketika usia bersara. Baru-baru ini dinyatakan 74 peratus penjawat awam berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

Dengan jangkaan kadar hayat yang kian meningkat, sangat mungkin untuk kita melihat simpanan generasi tua pada masa akan datang semakin tidak mencukupi. Ini bermakna tekanan kepada generasi muda akan lebih besar pada masa akan datang. Dan saya, jika dipanjangkan umur, akan mencecah 68 tahun pada tahun 2050. Apakah jaminan saya akan mempunyai cukup simpanan mengambil kira inflasi dan cabaran ekonomi pada zaman itu?

Apakah jaminan jaringan keselamatan sosial mencukupi ketika rakyat terus terperangkap dalam situasi hutang isi rumah yang diakui tertinggi di Asia kini dan mungkin berterusan dibawa pada masa akan datang?

Keutamaan pembangunan

Sebab itu saya fikir satu anjakan paradigma sangat diperlukan bagi melaksanakan tuntutan reformasi struktur.

Saya gembira dengan rancangan-rancangan reformasi tadbir urus yang mahu dilaksanakan. Gagasannya mesti jelas – untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan melalui kesedaran bahawa kerajaan bukan sahaja mempunyai tanggungjawab kepada rakyat tetapi juga tidak wajar merasakan tahu segala yang terbaik untuk semua.

Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan perancangan pembangunan dengan mengambil kira aspek kesejahteraan rakyat yang luas – daripada hal perkhidmatan di kawasan perumahan, lokasi kegiatan ekonomi dan tanah lapang yang berpotensi dimajukan atau dipelihara.

Saya berpandangan sasaran defisit fiskal kerajaan yang diubah daripada 0.6 peratus kepada 3.0 peratus sebagai sesuatu yang wajar. BN sebenarnya tidak harus berbangga dengan apa yang mereka sasarkan sebelum ini.

Di atas kertas mungkin nampak elok – Malaysia mencapai belanjawan berimbang pada tahun 2020 – namun hakikatnya beberapa tahun kebelakangan ini penyusutan defisit fiskal yang dibuat telah menekan rakyat melalui potongan peruntukan kepada sektor kesihatan dan sektor pendidikan.

Untuk jangka masa panjang, kita tidak boleh lagi bertangguh dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, bukan sahaja dari segi infrastruktur dan kemudahan, tetapi juga pedagogi, kurikulum dan ko-kurikulum.

Dalam hal kesihatan, kita mesti melihat tambahan kos kepada pesakit di kawasan miskin kerana sesetengah kemudahan tidak ada. Usaha meningkatkan persekitaran juga mesti dijalankan secara bersepadu antara beberapa kementerian untuk mengatasi akar permasalahan misalnya dalam aspek makanan dan persekitaran.

Selain daripada tambahan belanjawan, saya percaya sekiranya kita mempunyai data terbuka berkenaan senarai keperluan pendidikan dan kesihatan, banyak pihak akan sedia menghulurkan tangan untuk membantu melalui program-program tanggungjawab sosial korporat.

Saya gembira kerana Matlamat Pelbagai Dimensi 2018-2020: Sasaran Dipinda dengan Keutamaan dan Penekanan Baru menggariskan kepentingan untuk mengangkat kedudukan golongan yang tertinggal dan mendekatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Dalam ucapannya, perdana menteri menyebut tentang bagaimana dokumen reformasi ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan kerana ia bertumpu kepada kemakmuran yang dikongsi bersama (shared prosperity).

Sesuai dengan ini, kerajaan perlu mempertimbang formula baru yang lebih segar dalam agihan kekayaan selaras dengan Perkara 109 dan 110 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Pemberian per kepala dan penyelenggaraan jalan sebagaimana yang diberikan sejak sekian lama boleh diteruskan, namun ia tidak memadai untuk membawa pembaharuan yang boleh mendorong pencapaian matlamat pelbagai dimensi RMK-11.

Selama ini negeri-negeri maju bukan sahaja mendapat peruntukan-peruntukan ini, tetapi boleh dikatakan kebanyakan projek mega jelas bertumpu di negeri-negeri kaya ini.

Kerajaan boleh menentukan misalnya peruntukan tetap sebanyak RM1 billion setahun kepada setiap negeri dan kemudian ditambah dengan peruntukan per kepala dan penyelenggaraan jalan.

Kesan peruntukan ini tentulah akan lebih dirasai di negeri-negeri miskin dan ketinggalan berbanding negeri-negeri yang sudah kaya, meskipun jumlah yang diterima adalah sama.

Bagaimana dengan Perlis?

Sebagai wakil tunggal HARAPAN Perlis di Parlimen, sudah tentu saya ingin mengajak kerajaan persekutuan memberi perhatian kepada negeri yang masih lagi ditadbir oleh BN ini.

Ada beberapa perkara yang saya fikir perlu ditangani dalam tempoh baki dua tahun RMK-11 untuk Perlis.

Pertama, dalam soalan saya kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli semasa sidang sebelum ini, beliau mengakui peratusan air tidak berhasil (non-revenue water, NRW) di Perlis adalah yang tertinggi di negara ini.

Ia bukan sahaja berpunca daripada kecurian air, tetapi juga faktor paip-paip lama yang perlu diganti. Menteri berkata kementerian sedang mempertimbang sama ada mengganti paip-paip ini atau membuat jajaran baru paip air di seluruh negeri.

Jika ini tidak dilaksanakan dalam tempoh baki RMK-11, saya tidak tahu bilakah lagi ia akan dilaksanakan.

Kedua, sudah sekian waktu Perlis tidak lagi menikmati pelaburan asing dan amat bergantung kepada pelaburan domestik. Saya berharap situasi ini akan berubah.

Kerajaan harus melihat potensi masa depan apabila Terusan Kra mula berfungsi di mana Perlis akan menjadi negeri paling hampir yang boleh menarik manfaat daripada laluan tersebut. Bersamaan dengan ini, sektor pelancongan negeri haruslah ditingkatkan.

Ketiga, sektor pertanian perlu ditambah baik dengan mengalih sebahagian daripada bil import yang bernilai lebih RM50 billion. Peningkatan subsektor agro-makanan kepada 42.4 peratus boleh dicapai dengan menjadikan negeri-negeri seperti Perlis sebagai tunjang pertanian.

RMK-11 dan Belanjawan 2019 nanti tentulah bukan ubat mujarab yang boleh menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Namun, perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama.

RMK-11 dan Belanjawan 2019 adalah kesempatan terbaik untuk Pakatan Harapan memulakan langkah awal ke arah reformasi yang lebih menyeluruh.


NOOR AMIN AHMAD adalah Anggota Parlimen Kangar dan anggota jawatankuasa pemandu jaringan anggota parlimen muda Bank Dunia. Sebahagian ulasan ini telah disampaikan dalam perbahasan di Parlimen.


No comments: