Bekas
ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii hari ini
menyatakan kekesalan berhubung pertengkaran dalaman Umno yang menurutnya
mengundang kerugian besar kepada parti itu sendiri.
Mengulas pertelingkahan itu, Razlan berkata Pemuda Umno "tidak salah" untuk memberi pandangan kerana setiap anggota berhak menyatakan pendirian.
"Apa yang seharusnya dibuat oleh pucuk pimpinan parti adalah bawa berbincang. Selepas ketetapan dibuat, panggil mesyuarat Majlis Tertinggi, ambil konsensus, dan berfikirlah secara positif, apa sahaja keputusan yang dicapai selepas itu adalah keputusan mesyuarat, dan ini adalah proses yang perlu dihadapi.
"Berjiwa besarlah untuk membersihkan parti kita, bacalah komen-komen majoriti netizen terhadap Umno, berubahlah dengan lebih berani, kalau perlu mengambil satu langkah ke belakang, ambillah. Ini untuk parti.
"Parti ada ramai pemimpin, sesiapa boleh memimpin, semua anggota Majlis Tertinggi letak jawatan pun masih ada 3 juta ahli. Nak dengar, dengar, tak nak, buang sahaja," katanya.
Berita berkaitan: 'Asyraf bangsat gesa Zahid cuti seketika'
Pertelingkahan
antara Lokman dan Asyraf terjadi selepas ketua pemuda Umno itu semalam
mencadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika dari tugas sebagai presiden parti sementara perbicaraan mahkamah ke atasnya dijalankan.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Asyraf enggan melayan tuntutan Lokman dan menjelaskan keputusan untuk menggesa Zahid bercuti adalah keputusan sebulat suara yang dicapai dalam mesyuarat Pemuda Umno semalam.
Mengulas lanjut, Razlan berkata perangai dan corak pemimpin Umno dari segi menerima kritikan tidak berubah meskipun sudah kehilangan kuasa dalam tampuk pemerintahan kerajaan.
"Pelik tapi benar, sehingga sekarang, kalau ada kritikan dan teguran dari ahli sendiri, bazooka, meriam malah senjata sekecil pistol pun akan digunakan dan dihalakan untuk menembak sesama sendiri.
"Keinginan mereka menembak sesama sendiri melebihi keinginan menembak musuh sebenar di depan mata. Gerakan tersusun, perbincangan ilmiah boleh di rancang dengan sekelip mata apabila melibatkan politik sesama sendiri, berbeza dengan perancangan untuk menembak musuh sebenar iaitu kerajaan Pakatan Harapan hari ini.
"Sungguh kecewa apabila melihat keadaan ini, tidak ada langsung keikhlasan, tidak ada langsung memikirkan perkara positif, apa yang difikirkan, jawatan, dan kepentingan kumpulan," katanya.
Asyraf
membuat sesaan untuk Zahid bercuti semalam selepas mesyuarat bulanan
Pergerakan Pemuda Umno di Menara Dato' Onn, di PWTC, Kuala Lumpur.
Cadangan
itu, kata Asyraf, tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat
untuk menjatuhkan presiden, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepada
beliau supaya dapat berehat.
Bekas timbalan perdana menteri itu, yang mohon dibicarakan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada RM2 juta.
Sebelum
ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita
bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009
yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.
No comments:
Post a Comment