TUDUHAN Lim Guan Eng di
Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar
gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas. Ia
memperlihatkan bahawa beliau hanya beremosi tatkala Kerajaan Kelantan
mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan
inisiatif sendiri.
Egonya tercabar ketika Kerajaan Pakatan
Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan
namun mahu diteruskan pula oleh kerajaan PAS. Hatinya panas jika
kerajaan PAS mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan
pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk
meneruskannya.
Daripada fakta mana yang diperolehi oleh
Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian? Jika begitu, bagaimana
kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya
bekerja dengan kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu
membayar gaji mereka? Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan
segala media memburukkan Kerajaan Kelantan siang dan malam manakala
Kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit.
Sebegitu besar kebencian dan dendam
beliau terhadap PAS memang boleh diagak sejak lama dahulu. Kedegilan dan
keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan
(dahulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan) sukar berkolaborasi
dengan partinya.
Maka atas sebab itu, PAS terpaksa
menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP
ketika di dalam PR dahulu. Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang
bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang
mahu membolot semuanya.
Mungkin beliau merasa PAS tanpa Pakatan
Harapan tidak akan ke mana-mana. Telahan beliau dan pemimpin sepertinya
bahawa PAS akan kehilangan segala-galanya dalam PRU ke-14 tidak
kesampaian apabila PAS mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu.
Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu
yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan. Mungkin
sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan.
Nampaknya, episod dendam kesumat Menteri
Kewangan terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu akan terus
berpanjangan. Bahkan, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang telah menyatakan bahawa pembayaran royalti 20 peratus milik
Kelantan dan Terengganu akan tersekat. Kenyataannya bersandarkan kepada
usaha DAP dilihat tidak menyokong hasrat kerajaan untuk membawa
pembangunan saksama kepada lima negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.
Mungkin inilah menteri yang dimaksudkan
oleh Perdana Menteri mendapat markah 40 hingga 50 peratus itu. Jika
dipandang pada portofolio beliau nampak begitu gah, tetapi malangnya
bermentaliti rendah.
Ketika PM mengumumkan reformasi dalam
kerajaan dan negara, nampaknya ada menteri kanan dalam kabinetnya yang
masih meneruskan legasi lama peninggalan Barisan Nasional. Malangnya PM
yang mendapat menteri kabinet yang tidak berjiwa negarawan dan masih
bermentaliti pembangkang. - HARAKAHDAILY
*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.
No comments:
Post a Comment