Tuesday, October 23, 2018

Akta Majlis Halal Negara akan diwujudkan 2019

Bernama/ ASTRO AWANI
Akta Majlis Halal Negara akan diwujudkan 2019
FUZIAH: Ketika ini terdapat 342 agensi yang berkaitan aspek halal di bawah jabatan itu, termasuk bahagian kajian, pemasaran serta teknologi. -Facebook @mediaRLA Home
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang mengkaji Akta Majlis Halal Negara yang dijangka akan diwujudkan selewat-lewatnya awal tahun depan, dengan melibatkan semua agensi di bawahnya.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata ketika ini terdapat 342 agensi yang berkaitan aspek halal di bawah jabatan itu, termasuk bahagian kajian, pemasaran serta teknologi dan semuanya perlu diselaraskan di bawah satu bumbung.

"Akta ini penting agar setiap arahan dan fungsi di semua agensi terlibat akan lebih jelas, yang sekali gus memperkukuh pelaksanaan pensijilan halal negara yang merupakan antara terbaik di dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran siaran dokumentari Hidangan Laluan Sutera di sini hari ini.
 
Hadir sama Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, Mejar (K) David Teoh dan Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Fuziah berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan negara lain dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan pengurusan ibadah haji serta wakaf, memandangkan banyak negara yang berminat untuk belajar bagaimana Malaysia menguruskan jemaah dalam ibadah haji, dan Malaysia terbuka untuk berkongsi pengalaman serta kemahirannya dalam perkara itu.

"Pada masa yang sama, kita akan belajar dari negara luar mengenai pengurusan wakaf terutama dari Singapura di mana cara pengendalian wakaf mereka adalah antara yang terbaik sehingga masjid di sana dibina melalui dana wakaf dan bukannya wang kerajaan," katanya.

Sementara itu, rancangan dokumentari khas lima episod yang dialih suara sepenuhnya ke bahasa Melayu itu akan mula bersiaran esok melalui saluran 125, Astro Naura, pada pukul 11 malam.

Setiap episod memaparkan kebudayaan, tradisi serta ramuan makanan halal yang terdapat di China. -- BERNAMA

No comments: