Thursday, March 8, 2018

Wakil rakyat Amanah sanggup mati lawan BN

DETIK DAILY

 
Oleh

PEMIMPIN kanan Amanah, Mohamed Hanipa Maidin yang juga Ahli Parlimen Sepang mengisytiharkan rela mati sekalipun, kalau matinya itu dalam keadaan masih melawan Barisan Nasional.

Beliau yang pernah pengsan ketika sesi Parlimen dua tahun lalu menyatakan kesanggupannya itu semasa berbahas di Dewan Rakyat malam tadi, pada sesi yang tegang dan dramatik ketika berbangkit isu akaun bank pegawai kanan polis di Bukit Aman.

Kenyataan Hanipa itu muncul selepas beliau ditegur oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ronald Kiandee yang menasihatinya agar mengawal emosi demi kesihatannya sendiri apabila dilihat berucap dengan suara lantang dan keras.

"Tuan Speaker, saya tiada masalah, tuan Speaker. Saya sakit ke apa ke, tetap akan cakap macam ini… sebab bagi saya ini benda yang saya kena cakap. Saya tiada masalah. Sakit ke, hatta saya mati sekalipun saya puas hati sebab saya cakap lawan BN.

"Kalau malaikat tanya kenapa mati? (Saya jawab) mati lawan BN... Saya rasa lega betullah," katanya semasa membahaskan usul titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat malam tadi.

Hanipa ketika itu sedang bertegang urat dengan Che Mohamad Zulkifly Yusof (BN-Setiu) bersabit tindakan pihak berkuasa di Australia membekukan akaun bank Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Che Mohamad Zulkifly selepas mendengar jawapan Hanipa kemudiannya mengucap syukur, sekaligus menyebabkan dewan pecah dengan gelak tawa dan jeritan beberapa wakil rakyat yang masih mengambil bahagian dalam persidangan.

"Astaghfirullahalazim, mati kerana lawan BN. Allah... sanggup... bagus, terima kasih, Alhamdulillah, matilah cepat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim (BN-Arau) kemudian bangun membacakan sepotong hadis mengenai keperluan menutup aib saudara seagama Islam yang lain. Kenyataan Shahidan itu bagaimanapun disanggah oleh Hanipa.

"Betul, saya setuju (tutup aib orang). Tapi dalam kes ini, aib umum. Ini isu pengarah JSJ. Isu semua orang bercakap. Itu bukan maksud seperti mana Arau faham.

"Saya bukan nak cakap saya ustaz tapi saya belajar agama juga. Saya ada Ijazah dalam Syariah. You tak boleh simply quote (sewenangnya petik) hadis.

"Dengan ini saya minta, berdoalah supaya PRU ini, PRU terakhir BN ada di dewan ini," katanya, sekali lagi menimbulkan kekecohan.

Ronald kemudiannya menamatkan sidang hari ketiga Dewan Rakyat kira-kira jam 8.50 malam.

Pada 4 April 2016, Hanipa ditemui tidak sedarkan diri di kerusinya ketika Parlimen berehat selama lima belas minit bagi memberi laluan membawa usul pindaan rang undang-undang Syarikat 2015 ke Jawatankuasa Pilihan.

Hanipa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan menjalani pembedahan saraf.

No comments: